Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memberi arahan kepada Lionel Messi ketika aksi peringkat kumpulan di Piala Dunia. FOTO AP
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memberi arahan kepada Lionel Messi ketika aksi peringkat kumpulan di Piala Dunia. FOTO AP
AFP

Doha: Australia berdepan Argentina yang dipimpin Lionel Messi manakala Amerika Syarikat (AS) dilihat mahu melakar kejutan ke atas Belanda tatkala saingan pusingan kalah mati Piala Dunia bermula hari ini.

Selepas peringkat kumpulan yang penuh debaran dan kejutan, kini tumpuan terarah kepada peluang meneruskan kemaraan dengan 16 pasukan mencongak strategi untuk ke final di Doha pada 18 Disember ini.

Skuad AS dan Belanda membuka tirai pusingan kedua di Stadium Khalifa, dengan skuad AS mengintai peluang untuk mara ke suku akhir buat pertama kali sejak 2002.

AS kendalian Gregg Berhalter mengesahkan tempat dalam kelompok 16 terbaik dengan kemenangan 1-0 ke atas Iran untuk memastikan kedudukan di tempat kedua Kumpulan B di belakang England.

Sekalipun Belanda mempunyai sejarah hebat sebelum ini apabila mara ke tiga final Piala Dunia, skuad AS melangkah ke pusingan kalah mati dengan penuh keyakinan.

"Ia satu peluang hebat, tetapi ia bukan sesuatu yang kami akan lakukan dengan memikirkan ia satu penghormatan.

"Kami berhak untuk berada di kedudukan ini." kata Berhalter.

Skuad AS berdepan Belanda yang menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan teratas mengatasi Senegal, Ecuador dan Qatar tanpa mempamerkan aksi terbaik mereka.

Jurulatih veteran Belanda, Louis van Gaal bimbang mengenai aksi bertenaga skuad AS dengan menyifatkan skuad kendalian Berhalter antara yang terbaik dalam kejohanan.

"Mereka pasukan yang hebat, saya boleh katakan mereka adalah salah satu daripada pasukan terbaik.

"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi tiada apa yang kami tidak boleh atasi. Kami juga mempunyai pasukan yang baik." kata Van Gaal.

Dalam satu lagi saingan kalah mati, skuad gergasi Amerika Selatan, Argentina akan berdepan Australia yang mencetus kejutan besar apabila melepas saingan Kumpulan D termasuk juara bertahan Perancis, Denmark dan Tunisia.

Bagaimanapun jurulatih Argentina, Lionel Scaloni tidak memandang mudah cabaran pasukan lawan selepas pasukannya mengalami kekalahan mengejut ke atas Arab Saudi pada peringkat awal kejohanan.

"Sama ada atau tidak mereka lebih rendah daripada kami masih perlu dilihat.

"Lupakan siapa yang menjadi kegemaran secara teori dan mari kita bermain bola sepak." kata Scaloni.

Sementara itu, jurulatih Australia, Graham Arnold menjangkakan kebangkitan daripada skuad 'The Socceroos' berdepan barisan bintang Argentina.

"Beraksi berdepan bakat seperti itu dan nama seperti mereka, saya fikir bergema di seluruh dunia -- ia adalah sebuah negara bola sepak dan ia memberi inspirasi untuk bermain menentang mereka," kata Arnold.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 9:10 PM