AKSI antara Indonesia dan Australia sebentar tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Indonesia dan Australia sebentar tadi. FOTO Bernama
Reuters

Al Rayyan: Australia menewaskan Indonesia 4-0 dalam perlawanan pertama peringkat kalah mati Piala Asia hari ini untuk mara ke suku akhir dalam aksi sengit di Stadium Jassim bin Hamad.

Indonesia tidak pernah menewaskan Australia dalam tempoh 43 tahun dan walaupun pasukan dari Asia Tenggara itu mendapat sokongan padu berbanding Australia, anak buah Graham Arnold berjaya merangkul peluang terhidang.

Indonesia bermula dengan garang dan menghadirkan gerun terhadap lawan mereka di awal saingan melalui percubaan ke arah pintu gol namun Australia mendahului pada minit ke-12 apabila hantaran lintang Jackson Irvine ditepis ke gawang sendiri oleh Elkan Baggott.

Martin Boyle menggandakan jaringan Australia sebelum rehat apabila dia menyudahkan hantaran lintang Gethin Jones melalui tandukan.

Peyokong Indonesia yang berbaju merah putih cuba sedaya upaya memacu pasukan mereka tetapi Australia tetap tenang, walaupun mereka hampir berdepan hukuman pengadil apabila Jones sengaja menjatuhkan Rafael Struick.

Pelanggaran itu berlaku betul-betul di hadapan Arnold, yang dengan marah melemparkan botol air ke padang rumput mengharapkan kad merah.

Tetapi pengadil hanya memberi amaran kepada Jones, yang segera dikeluarkan oleh Arnold.

Craig Goodwin masuk sebagai pemain gantian di lewat permainan dan penyerang itu memberikan impak serta-merta apabila dia menjaringkan gol pada minit ke-89, manakala pertahanan tinggi Harry Souttar menjadikan kedudukan 4-0 beberapa saat kemudian menerusi tandukan

Australia akan menentang sama ada Arab Saudi atau Korea Selatan pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 10:02 PM