PUEL hanya mampu bertahan selama 16 bulan di Stadium King Power. — FOTO AFP
PUEL hanya mampu bertahan selama 16 bulan di Stadium King Power. — FOTO AFP
AFP

LEICESTER mengumumkan pemecatan pengurus Claude Puel hari ini susulan kekalahan keenam daripada tujuh perlawanan kelab bermasalah Liga Perdana Inggeris itu.

Kekalahan 1-4 di tangan Crystal Palace malam tadi menyebabkan juara 2015-16 itu merudum ke tangga ke-12, hanya lapan mata di atas zon penyingkiran.

“Leicester City hari ini berpisah dengan Claude Puel, yang meninggalkan jawatannya sebagai pengurus pasukan utama berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan kelab itu.

Jurulatih pasukan utama Mike Stowell dan Adam Sadler akan mengendalikan pasukan itu secara sementara.

“Kelab ini mahu mengucapkan terima kasih kepada Claude kerana usahanya mengemudi pasukan dalam tempoh 16 bulan dan mengucapkan selamat berjaya kepadanya bagi karier masa depannya.”

KEKALAHAN di tangan Crystal Palace malam tadi perlawanan terakhir kendalian Puel. — FOTO Reuters
KEKALAHAN di tangan Crystal Palace malam tadi perlawanan terakhir kendalian Puel. — FOTO Reuters

Penolong pengurus Puel, Jacky Bonnevay turut meninggalkan kelab itu.

Puel yang berusia 57 tahun adalah pengurus kelima kelab liga utama Inggeris dipecat musim ini, mengikut jejak langkah Slavisa Jokanovic dari Fulham, Mark Hughes (Southampton), Jose Mourinho (Manchester United) dan David Wagner (Huddersfield).

Kegagalan Foxes musim ini termasuk tewas kepada pasukan divisyen keempat Newport pada pertandingan Piala FA.

Puel mengambil alih daripada Craig Shakespeare di Leicester pada Oktober 2017 selepas setahun mengendalikan Southampton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 7:55 PM