PEMAIN Leicester perlu fokus berdepan Everton esok.
PEMAIN Leicester perlu fokus berdepan Everton esok.
 PUEL yakin mampu bimbing Leicester ke tahap terbaik.
PUEL yakin mampu bimbing Leicester ke tahap terbaik.
AFP

LONDON: Bos baru Leicester, Claude Puel menyasarkan untuk membawa tahap konsisten ke kelab berkenaan selepas beberapa tahun aksi turun naik dengan mereka berdepan penyingkiran dan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum kembali bergelut.

Leicester menang Liga Kejuaraan pada 2014, mengelak penyingkiran pada musim seterusnya dan kemudian bergelar juara Liga Perdana pada musim penuh dongeng 2015-2016 di bawah kendalian Claudio Ranieri.

Namun, Leicester yang menamatkan saingan di kedudukan 12 musim lalu, bergelut musim ini dengan Puel menggantikan Craig Shakespeare selaku pengurus susulan enam perlawanan tanpa menang dalam liga yang membuatkan mereka berada dalam zon penyingkiran.

Puel mahu mencari keseimbangan untuk kembali meletakkan kelab itu di tahap sepatutnya.

“Leicester masih kelab yang muda dan boleh berubah. Ia masih belum lama selepas naik taraf daripada Liga Kejuaraan,” kata bekas bos Southampton itu ketika bertemu media buat pertama kali, semalam.

“Saya rasa pasukan ini perlukan keyakinan dan sedikit tahap konsisten. Kelab ini melalui tempoh yang menakjubkan sejak beberapa tahun, menang Liga Perdana dan bermain dalam Liga Juara-Juara.

“Dan tahap terendah sekali lagi mungkin pada permulaan musim ini, namun penting untuk mencari konsisten dan keseimbangan yang bagus.”

Michael Appleton memenangi kedua-dua perlawanan ketika tempoh pendek selaku pemangku pengurus, dengan kemenangan di Swansea mengangkat Leicester keluar dari zon penyingkiran dan kemenangan mengatasi Leeds membawa mereka ke suku akhir Piala Liga.

Puel dengan perlawanan pertamanya di laman sendiri berdepan Everton esok, mahu mengekalkan rentak dibina Appleton dan berkata pembantunya itu ada peranan penting perlu dilakukan pada tahap awalnya selaku pengurus.

“Kami akan cuba mengekalkan tahap keyakinan dan perasaan dua perlawanan terakhir tanpa mengubah terlalu banyak kerana penting untuk mengekalkan rentak daripada perlawanan ini,” katan Puel.

“Adalah penting untuk memungut mata dan bangkit jika boleh ke pertengahan liga dan selangkah demi selangkah bekerjasama dengan pemain dan meningkatkan kualiti pemain.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 1:06 PM