AKSI Zaha menjaringkan gol kedua Palace di Stadium King Power. - FOTO Reuters
AKSI Zaha menjaringkan gol kedua Palace di Stadium King Power. - FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Leicester City, Claude Puel berkata kebimbangan penyokong mereka adalah normal selepas kelab itu dibelasah 4-1 di tempat sendiri oleh Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana, awal pagi tadi.

Leicester memulakan kempen musim baharu dengan hambar dan kekalahan pagi tadi adalah yang keempat berturut-turut di tempat sendiri, rekod terburuk sejak tahun 2000 dan kini mengharungi tujuh perlawanan tanpa kemenangan.

Prestasi buruk juara Liga Perdana 2016 itu yang melepaskan dua gol lewat sudah pasti meresahkan penyokong mereka di sebalik kedengaran rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain.

Puel berkata, dia mampu menangani situasi itu walaupun mereka kini berada di tangga ke-12 dengan 32 mata dan bakal bergelut dalam zon penyingkiran jika gagal meningkatkan prestasi.

"Sudah pasti sukar dan kami dalam situasi membimbangkan,” kata Puel.

"Kami bermasalah di penghujung. Adalah normal penyokong berasa bimbang, saya faham. Pemain perlu pulihkan kembali keyakinan, mereka beraksi dengan baik tanpa keputusan diingini dalam beberapa perlawanan sebelum ini.”

Pada awal bulan ini, Peter Schmeichel bapa kepada penjaga gol Leicester, Kasper, berkata, kelab itu tidak mempunyai pengurus yang mampu menggunakan pemainnya dengan cara terbaik dan memberi petanda anaknya mahu keluar daripada kelab itu.

Walaupun Puel berkata Schmeichel Jr gembira bersama The Foxes, media British melaporkan beberapa pemain senior termasuk Jamie Vardy tidak puas hati.

Vardy yang kembali beraksi dalam kesebelasan utama selepas digugurkan tampak bersendirian dan kurang keyakinan ketika menentang Palace dengan Harry Maguire yang begitu berpengaruh musim lepas turut bergelut dengan prestasi.

Puel menggesa pasukannya bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Brighton & Hove Albion pada Selasa ini dan meminta penyokong mereka bersabar.

"Perkara paling penting ialah pemain perlu pamer karakter sebenar pada perlawanan selepas ini untuk meraih kembali kepercayaan penonton,” katanya.

Dalam perlawanan di Stadium King Power itu, Palace berpesta gol melalui dua jaringan Wilfried Zaha, Michy Batshuayi dan penalti Luka Milivojevic manakala gol tuan rumah dijaringkan Jonny Evas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 11:35 AM