Adly beri jaminan selesai tunggakan gaji pemain MU. FOTO fail HM Digital
Adly beri jaminan selesai tunggakan gaji pemain MU. FOTO fail HM Digital
Fairuz Zaidan 


AYER KEROH: Isu tunggakan gaji pemain Melaka United (MU) dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat, kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.   

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) berkata, pembayaran gaji pada bulan Julai lalu sudah dibuat baru-baru ini, manakala tunggakan pada Ogos dan September dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat. "Kita yakin, menjelang November nanti kes seperti isu tunggakan gaji pemain MU ini akan dapat diselesaikan sepenuhnya.   

"Kita mahu pastikan pasukan ini kekal kompetitif bersaing dalam Liga Super pada tahun depan," katanya pada sidang media pada mesyuarat EXCO kerajaan negeri, di sini hari ini.   

Ditanya kemungkinan MU tidak lagi mengambil khidmat jurulatih asing bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan, Adly berkata, faktor kedudukan kewangan dalam pasukan itu harus diutamakan tanpa berkompromi dalam soal pembangunan sukan itu pada masa depan.   

"Kita perlu meneliti pelbagai faktor, termasuk akan memastikan dan mengekalkan penggunaan pemain import bagi memastikan MU dapat memberi cabaran dalam saingan Liga Super.   

"Pada masa sama, kita juga komited untuk memberi tumpuan pada pembangunan di peringkat rendah bermula tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 3:55 PM