Adly (kiri) beri jaminan tunggakan akan diselesaikan. FOTO NSTP
Adly (kiri) beri jaminan tunggakan akan diselesaikan. FOTO NSTP
Fairuz Zaidan


KEMELUT masalah tunggakan gaji yang didakwa membelenggu pemain bola sepak Melaka United (MU) sejak Aidilfitri lalu berjumlah hampir RM3 juta dijangka diselesaikan selewat-lewatnya Ogos depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Adly Zahari, berkata persatuan itu memberi jaminan akan membayar sebulan tunggakan gaji pemain pada hujung bulan ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka mengakui terdapat sedikit masalah di mana penaja belum menyelesaikan komitmen tajaan sehingga menyebabkan bayaran gaji pemain tertunggak.

Katanya, MUSA akan menyelesaikan isu dengan pihak penaja dan menyelesaikan tunggakan gaji dalam tempoh ditetapkan.

“Sebenarnya kalau mengikut kepada komitmen penaja cukup untuk kita membayar gaji, sekali gus tidak berbangkit isu (tunggakan gaji).

“Namun, komitmen tidak dipenuhi selain ada sebagian komitmen tak buat pembayaran menyebabkan berlaku tunggakan gaji.

Kita akan pastikan mereka memberikan komitmen untuk selesaikan isu gaji,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri, Melaka, hari ini.

Ditanya dakwaan isu tunggakan gaji itu mengganggu prestasi pemain hingga mengakibatkan Melaka kecundang kepada Pahang 1-4, Adly berkata isu gaji bukan penyebab utama kekalahan teruk skuad Hang Tuah memandangkan pemain berdepan beberapa masalah kecederaan hingga menjejaskan prestasi pasukan.

Adly berkata, sekali pun Melaka gagal mencapai sasaran lima kedudukan terbaik di carta liga, pihaknya tetap berpuas hati kerana skuad itu berjaya memperbaiki kedudukan Liga Super pada musim lalu.

Untuk rekod, skuad Hang Tuah berjaya menamatkan saingan di tangga keenam Liga Super 2019, selepas berada di tangga ketujuh pada musim lalu.

Minggu lalu, NSTP melaporkan kantung pasukan Liga Super dan Liga Perdana terisi apabila memperoleh bayaran hak penyiaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bagaimanapun, masih ada yang berduka dan terbaharu pemain MU dikatakan belum menerima apa-apa bayaran gaji sejak Aidifitri lalu.

Menurut sumber, setakat ini pemain dimaklumkan pihak pengurusan sedang mencari dana namun belum menerima sebarang bayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 2:30 PM