ZAINAL berterima kasih kepada kepimpinan kelab.
ZAINAL berterima kasih kepada kepimpinan kelab.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Ketua jurulatih Melaka United (MU) musim lalu, Zainal Abidin Hassan mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Melaka United FC selepas isu tunggakan gaji selesai petang tadi.

Ucapan ditujukannya khusus buat Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat, Pengarah, Datuk Hidzir Ahmad serta seluruh warga kelab dan KenTEAM Sdn Bhd.

"Biarpun Melaka United FC (MUFC) dilanda isu tunggakan gaji musim lalu, saya dan pasukan tetap menaruh kepercayaan kepada kelab dengan terus memberikan yang terbaik sepanjang saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu.

"Kami dalam pasukan sedar dan memahami dengan keadaan dihadapi kelab ketika itu sehingga timbul isu tunggakan gaji kepada pemain dan pegawai pasukan, namun segalanya dapat diselesaikan sehingga akhirnya kami menerima keseluruhan gaji yang tertunggak," katanya.

Beliau berkata tunggakan gaji dapat diatasi hasil usaha semua pihak di MUFC terutama Datuk Wira Justin yang berusaha sebaik mungkin dalam memastikan isu terbabit dapat diselesaikan segera.

Sementara itu, penyokong MU masih menanti pengumuman barisan pemain baharu dan sama ada Zainal kekal atau tidak akan diumumkan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 8:23 PM