FARHAN mengakui hanya tonggak import dan pegawai pasukan 2019 belum diselesaikan. FOTO NSTP
FARHAN mengakui hanya tonggak import dan pegawai pasukan 2019 belum diselesaikan. FOTO NSTP
Firdaus Hashim

TIGA pasukan yang berdepan amaran pemotongan mata memberi jaminan isu tunggakan gaji membabitkan pemain masing-masing akan diselesaikan sebelum 31 Januari ini.

Dua pasukan Liga Super iaitu PDRM dan Melaka United serta pasukan Kelantan yang beraksi di Liga Perdana berisiko dipotong tiga mata penghujung bulan ini seandainya masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain yang terbabit.

Malah, tambahan pemotongan enam mata lagi akan menanti pada penghujung bulan depan dan sekiranya masih gagal penyertaan mereka dalam Liga Malaysia musim ini akan dibatalkan sekaligus tersingkir daripada saingan.

Setiausaha Agung PDRM, Zulkefly Yahya berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan penajaan dan mengakui ia mampu diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kita sedang berusaha (memuktamadkan tajaan) dan selepas semuanya selesai, kita akan bayar tunggakan gaji membabitkan jumlah hampir RM1 juta kepada pemain musim lalu.

“Tunggakan ini adalah tunggakan dari bulan Jun tahun lalu hingga kini. InsyaAllah ia boleh diselesaikan dan tahun ini kita pun banyak guna anggota sebagai pemain bagi membolehkan kita menyelesaikan hutang lama.

“Saya yakin tak ada masalah dan sebaik semuanya selesai kita akan maklumkan terus kepada FAM secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Bagi pasukan Melaka United pula, sebahagian besar tunggakan pemain musim lalu sudah berjaya diselesaikan petang semalam dan hanya tinggal tunggakan pemain import dan pegawai pasukan.

“Hanya pemain import dan pegawai pasukan 2019 masih belum dan akan selesai sebelum 30 Januari ini,” kata Setiausaha Agung pasukan, Farhan Ibrahim.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Hussin Deraman mengesahkan sudah menerima surat daripada FAM berhubung perkara itu semalam.

Jelas Hussin, KAFA sudah berjaya mencapai kata sepakat bersama beberapa bekas pemain dan sedang dalam proses mendapatkan pengesahan bertulis untuk menyelesaikan tunggakan gaji secara berperingkat dalam masa terdekat.

“Kita dah dapat lesen untuk bertanding musim ini dengan lesen bersyarat. Daripada enam kriteria, kita dah selesaikan lima daripadanya cuma tinggal isu tunggakan gaji membabitkan beberapa pemain.

“Perbincangan bersama beberapa pemain yang pernah beraksi dua atau tiga tahun lalu. Mereka setuju untuk kita bayar mengikut jadual secara bulanan dan tengah dapatkan hitam putih (tandatangan dan pengesahan).

“Tapi ingin saya tegaskan, pemain-pemain ini adalah pemain lama yang kes mereka sudah diputuskan FAM. Memang ada lagi tunggakan pemain lain namun ia belum diputuskan lagi.

“Jadi keutamaan kita untuk selesaikan yang tunggakan lama bagi membolehkan kita elak daripada pemotongan mata,” kata Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 12:25 AM