Skuad Melaka United.
Skuad Melaka United.
Syazwan Msar


MAMPUKAH Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) menyelesaikan tunggakan gaji musim lalu berjumlah hampir RM800,000 dalam tempoh sebulan?

Persoalan terbabit ketika ini bertiup kencang di kem skuad Hang Tuah apabila menyaksikan pengurusan bola sepak negeri itu berdepan pelbagai cabaran untuk menyelesaikan bayaran tunggakan terbabit dalam tempoh sebulan.

Malah, menurut sumber, pasukan terbabit turut berdepan dengan masalah pembayaran gaji apabila setakat ini tertunggak kira-kira dua bulan dengan kali terakhir pemain hanya menerima 30 peratus daripada pendapatan mereka sebulan.

Namun, Naib Presiden Musa, Mohd Ashiq Abd Samad pula optimis tunggakan terbabit dapat diselesaikan dalam masa ditetapkan sekali gus mengelak pasukan itu daripada berdepan 'malapetaka.'

"Kita fokus untuk selesaikan satu persatu. Kita sudah selesaikan tunggakan Mac sebelum ini dan bulan ini, kita akan lunaskan tunggakan April pula.

"Kita juga sedang bekerja keras untuk menyelesaikan tunggakan gaji musim lalu berjumlah hampir RM800,000. Kita sudah memaklumkan perkembangan ini kepada pemain dan mereka faham keadaan kita.

"Kami optimis tunggakan tahun lalu ini dapat diselesaikan dan presiden (Datuk Sulaiman Md Ali) juga memberi jaminan berhubung isu ini," katanya.

Sebelum itu, ketika Melaka di ambang pemotongan enam mata akibat kegagalan membayar tunggakan gaji 2018 sebelum 30 April lalu, pasukan terbabit akhirnya boleh tersenyum sementara apabila diberikan 'talian hayat' dengan tempoh pembayaran dilanjutkan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

'Talian hayat' yang diberikan menerusi mesyuarat Pelesenan Kelab (FIB) itu jelas sekali memberi kelegaan kepada pasukan berkenaan yang sebelum ini dikenakan pemotongan tiga mata akibat kegagalan menjelas hutang 2018.

Pasukan terbabit juga sebelum ini sudah dikenakan hukuman apabila FAM memutuskan pemotongan tiga mata ke atas skuad Hang Tuah serta merta.

Keputusan pemotongan mata itu diputuskan FIB yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara 'teleconferencing' bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain selepas mendapati Melaka gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Ia sekali gus menyaksikan kedudukan MU yang berada di tangga ketiga Liga Super dengan enam mata akan berubah susulan keputusan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 11:50 PM