PHIL FODEN
PHIL FODEN
AFP

LONDON: Pep Guardiola memuji aksi memukau bintang muda England, Phil Foden ketika membantu kelabnya membenam Oxford pada pusingan ketiga saingan Piala Liga awal pagi tadi.

Dalam pertemuan itu juga, Foden muncul pemain terbaik perlawanan dengan dia turut membuka buku jaringan bersama skuad senior yang menyaksikan City meraih kemenangan 3-0 di Stadium Kassam.

Malah, pemain berusia 18 tahun itu juga turut bertindak mengumpan dua gol yang disempurnakan oleh Gabriel Jesus (ke-36) dan Riyad Mahrez (m-78) dengan Foden pula menggegar gawang di penghujung saingan.

Kelibat pemain utama skuad bawah 19 (B-19) tahun England itu sebelum ini menjadi sasaran beberapa kelab selepas tertarik dengan aksinya di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, peluang untuk dirinya menempatkan diri dalam kesebelasan utama dilihat agak sukar apabila perlu bersaing dengan pemain senior.  

Namun bagi Guardiola, Foden memiliki keistimewaan tersendiri dan percaya dia mempunyai masa depan yang cerah di Etihad. 

"Cara bagaimana dia meraikan gol pertamanya seperti dia memenangi perlawanan akhir Piala Dunia dan itu kerana dia adalah peminat City," kata Guardiola.

"Impian saya adalah untuk melihat dia kekal di sini sekurang-kurangnya 10 tahun dan jika ia memilih jalan itu saya yakin dia bakal muncul sebagai pemain paling penting buat kelab ini”.

Pengurus Oxford, Karl Robinson pula beranggapan gaya permainan Foden seperti bekas pemain tengah Barcelona, ​​Andreas Iniesta yang pernah di bimbing Guardiola ketika dia menjadi pengurus pasukan di Camp Nou dari tahun 2008-2012.

"Wow… itu adalah penghargaan cukup tinggi (dari Robinson). Saya sudah banyak kali meluahkan betapa saya gembira dengan aksi Foden, " kata Guardiola.

"Saya tidak akan mengatakan bahawa dia akan menjadi Andres Iniesta kerana ia meletakkan tekanan kepadanya, Iniesta adalah salah seorang pemain terbaik yang pernah saya lihat dalam hidup saya.

“Jadi kami tidak boleh meletakkan tekanan pada Foden. Tetapi dia mempunyai kualiti untuk berada di sini selama 10 tahun kerana saya fikir dia mahu kekal, saya rasa kelab juga sudah tentu mahukannya,” tambahnya. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 10:44 AM