Guardiola (kiri) memberi arahan kepada Phil Foden. FOTO Agensi
Guardiola (kiri) memberi arahan kepada Phil Foden. FOTO Agensi
AFP

London: Pep Guardiola menggesa Phil Foden supaya kekal fokus pada permainannya di sebalik pujian terhadap aksi bintang muda Manchester City itu.

Foden menjadi tonggak utama dalam skuad City yang kini menghuni tangga teratas carta Liga Perdana Inggeris.

Pemain tengah berusia 20 tahun membuktikan kualiti permainannya dengan aksi cemerlang ketika membantu City mengatasi Liverpool, 4-1 Ahad lalu.

Ketika City mencatat kemenangan ke-14 berturut-turut dalam semua kejohanan, Foden meledak enam gol dan tiga bantuan gol pada 10 penampilan terakhirnya dalam kesebelasan utama pasukan.

Jaringannya ketika menentang Liverpool membuktikan kematangan pemain itu dan kebanyakan penganalisis bola sepak menyifatkan dia antara pemain muda berpotensi.

Namun pengurus City, Guardiola percaya Foden masih perlu meningkatkan prestasi dan berkata dia tidak boleh terlalu dibuai dengan pujian.

"Ia mungkin berbeza bagi dirinya. Dia harus kekal tenang dan memahami tempoh sukar yang bakal tiba. Ia bergantung jika dia mampu menanganinya.

"Jangkaan pada usia sekarang, kita akan lihat sama ada dia mampu mengawalnya. Kini orang ramai akan menjangkakan dia melakukan perkara yang pelik pada setiap perlawanan. Ini adalah perkara yang paling sukar.

"Pemain terbaik tidak beraksi pada hanya satu perlawanan hebat di Anfield. Mereka kekal konsisten dalam tempoh lima tahun berturut-turut, tidak berada dalam senarai kecederaan dan sentiasa bermain. Ini adalah sasaran seterusnya bagi Phil." kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 11:10 AM