FODEN (tengah) beraksi cemerlang ketika Piala Dunia Bawah-17 tahun.
FODEN (tengah) beraksi cemerlang ketika Piala Dunia Bawah-17 tahun.
AFP

MANCHESTER: Persembahan menarik Phil Foden ketika membantu England mara ke pentas final Piala Dunia Bawah-17 tahun mungkin membawa kepada penampilan pertamanya bersama Manchester City, kata pengurus The Citizens, Pep Guardiola.

Perancang tengah berusia 17 tahun itu begitu menyinar di India, membantu pasukan negaranya menempah tiket final berdepan Sepanyol, lewat malam ini.

Bekas pengurus England, Glenn Hoddle menjadi antara individu yang terkejut dengan persembahan Foden, ketika prestasinya itu mula mencuri perhatian Guardiola.

Pengurus City itu melihat aksinya pada April lalu tatkala Foden menjaringkan gol individu menarik pada aksi pertama final Piala Remaja FA menentang Chelsea, biarpun pertembungan itu berkesudahan mereka tewas dengan agregat 6-2.

Kekaguman terhadap aksi Foden itu mendorong Guardiola menyenaraikannya ke jelajah pra-musim di Amerika Syarikat, dan tanpa berselindung dia mengakui bintang masa depan England itu berada dalam perancangan pasukan utama di Stadium Etihad.

“Phil memiliki peluang kekal di sini dan beraksi pada perlawanan berdepan Wolves (pusingan 16 terakhir Piala Liga Selasa lalu),” kata Guardiola.

“Tetapi kami percaya ia satu peluang yang hebat buatnya beraksi menentang pasukan seperti Brazil, Jerman, Sepanyol, Itali dan mana-mana pasukan lain di India. Ia cukup berharga untuk proses perkembangannya.”

Guardiola yang memainkan peranan dalam menggilap bakat Lionel Messi di Barcelona, begitupun bimbang untuk meletakkan tekanan yang melampau ke atas Foden, yang dilihat olehnya lebih sesuai beraksi di posisi tengah.

“Dia pemain yang istimewa. Saya fikir dia sangat istimewa,” kata Guardiola.

“Pasukan kebangsaan meletakkan dia di posisi pertahanan dan sayap kanan, walaupun dia lebih sesuai di tengah, meskipun beraksi di posisi itu, namun dia tetap beraksi baik di India.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 12:28 PM