Aksi pemain tengah Manchester City, Phil Foden (kiri) beri impak besar pada pasukannya. FOTO AFP
Aksi pemain tengah Manchester City, Phil Foden (kiri) beri impak besar pada pasukannya. FOTO AFP
AFP

Birmingham, United Kingdom: Manchester City semakin menghampiri gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika pendahulu liga itu bangkit menewaskan Aston Villa 2-1 pagi ini, dalam perlawanan pertama mereka sejak menarik diri daripada Liga Super Eropah (ESL)

Skuad kendalian Pep Guardiola dikejutkan dengan jaringan pembukaan John McGinn hanya selepas 20 saat sepak mula.

Namun City bangkit dengan gol penyamaan Phil Foden sebelum Rodri memberikan jaringan kemenangan kepada skuad pelawat itu.

Perlawanan berakhir dengan kedua-dua pasukan beraksi 10 pemain apabila pertahanan City, John Stones dibuang padang kerana mengasari Jacob Ramsey sebelum rehat, dan pemain Villa, Matty Cash menerima kad kuning kedua kerana mengasari Foden pada babak kedua.

City kini 11 mata di depan Manchester United dan perlu mengutip lapan mata daripada baki lima perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan liga ketiga dalam empat musim.

"Bukan permulaan yang saya idamkan tetapi kami bertindak balas dengan baik. Ia aksi yang cukup baik." kata Guardiola.

"Pengaruh Phil Foden dalam permainan kami cukup besar. Dia menjadi seorang pemain yang semakin penting."

Pemburuan City untuk melakar empat gelaran terhalang ketika tewas pada aksi separuh akhir Piala FA berdepan Chelsea.

Kekalahan itu hadir seminggu selepas Leeds yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain menang di Stadium Etihad, meningkatkan kemungkinan prestasi menurun skuad City yang suatu ketika mendahului carta dengan 17 mata hanya beberapa minggu lalu.

"Selepas perlawanan ini ia tidak menunjukkan seperti Liga Super mengganggu kami. Sudah pasti semua orang mengambil berat, tapi pemain hanya memberi tumpuan pada perlawanan." kata Guardiola.

"Liga Perdana adalah antara kejuaraan penting yang perlu dimenangi. Kami makin hampir."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 7:38 AM