FODEN (tengah) dikerumuni rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama Manchester City. FOTO AP
FODEN (tengah) dikerumuni rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama Manchester City. FOTO AP
AFP

London: Phil Foden menjaringkan dua gol ketika membantu Manchester City mara ke suku akhir Piala FA dengan kemenangan 3-0 ke atas Bristol City manakala juara 2021 Leicester tewas mengejut 1-2 kepada kelab divisyen dua, Blackburn awal pagi tadi.

Skuad Pep Guardiola langsung tidak tergugat dalam aksi pusingan kelima di Ashton Gate hasil kecemerlangan Foden dan jaringan lewat Kevin De Bruyne.

Guardiola tabik impak penyerang England, Foden yang kembali menyerlah selepas bergelut dengan prestasi musim ini.

"Kariernya selalu meningkat. Musim ini agak sukar dan dia tidak konsisten tetapi sekarang dia kembali dan harap terus kekalkan momentum ini," kata Guardiola.

"Impaknya mengagumkan. Bola sepak berbaloi apabila anda bekerja seperti dilakukannya."

City berharap satu lagi berita gembira awal pagi esok apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal yang dua mata di depan juara bertahan itu menentang Everton dengan Gunners beraksi kurang satu perlawanan.

"Kami masih lagi hidup dalam tiga kejohanan dan kami akan tunggu apa berlaku pada masa depan," kata Guardiola.

City mendahului pada minit ke-7 apabila Foden meledak kencang hantaran Riyad Mahrez dari sebelah kanan.

Foden menggandakan jaringan City minit ke-74 selepas Julian Alvarez bijak melorongkan bola kepada Foden yang tenang menewaskan penjaga gol Max O'Leary.

De Bruyne melengkapkan kemenangan pelawat dengan gol ketiga menerusi rembatan jarak jauh minit ke-81 bagi memastikan kemaraan juara enam kali Piala FA itu.

Sementara itu, Leicester diejek penyokong sendiri selepas Blackburn meleburkan impian Foxes yang mahu mara ke final Piala FA buat kali kedua dalam tempoh tiga musim.

Brendan Rodgers membawa Leicester menjuarai Piala FA pertama mereka pada 2021 tetapi Rovers menghukum kelalaian pertahanan skuad EPL itu dengan kemenangan 2-1 di Stadium King Power.

Rodgers melakukan enam pertukaran ke atas skuadnya yang tewas kepada Arsenal hujung minggu lalu dan menerima padah percaturannya itu.

"Jika ada sesiapa perlu dipersalahkan ia adalah saya. Saya membuat pertukaran tetapi kecewa ia tidak menjadi," kata Rodgers.

"Kami membawa empat pemain dalam kesebelasan yang memenangi Piala FA beberapa musim lalu. Tetapi hakikatnya mereka lebih baik berbanding kami dan kami perlu bimbang mengenainya."

Keputusan Piala FA

Stoke City 0 Brighton 1

Fulham 2 Leeds United 0

Leicester 1 Blackburn Rovers 2

Bristol City 0 Man City 3

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 7:30 AM