JOE HART
JOE HART
AFP

LONDON: Jaringan penyamaan minit akhir Andy Carroll melegakan Joe Hart selepas penjaga gol West Ham itu melakukan kesilapan dalam aksi dramatik menentang Stoke City yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pemain gantian Stoke, Peter Crouch menjaringkan gol pada jarak dekat selepas Hart menampan lemah cubaan Xherdan Shaqiri ketika saingan hanya tinggal 11 minit di Stadium London.

Jaringan bekas penyerang Liverpool itu sejak November lalu bagaimanapun masih tidak dapat membantu Stoke yang diancam tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk mencatat kemenangan daripada 10 perlawanan.

Namun Carroll yang masuk daripada bangku simpanan berjaya menyelamatkan West Ham dengan jaringan hebat pada minit ke-90.

Keputusan berkenaan jelas memberi tamparan hebat kepada pengendali Stoke, Paul Lambert, yang pasukannya kini berada kedudukan dua terbawah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Stoke kini lima mata daripada zon selamat dari penyingkiran tatkala saingan kini berbaki empat perlawanan. 

Jaringan ketiga Carroll pada musim ini - sejak membuat penampilan pertama pada Januari - adalah gol paling bernilai buat West Ham, yang kini tujuh mata di atas tiga pasukan tercorot.

Biarpun Hart lega apabila West Ham tidak kehilangan tiga mata, kesilapannya jelas sedikit sebanyak menjejaskan peluangnya untuk mewakili England di Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 10:26 AM