ROBERT Madley (tengah).
ROBERT Madley (tengah).
Reuters

London: Pengurus West Ham United, David Moyes mengakui bingung selepas pengadil, Robert Madley tidak mempedulikan keputusan pembantunya dan membenarkan jaringan penyamaan minit akhir Callum Wilson ketika pasukannya seri 3-3 dengan Bournemouh dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.

Percubaan Wilson pada minit ke-93 dikesan ofsaid oleh penjaga garisan Simon Long. Madley kemudian berbincang dengan pembantunya itu sebelum membuat keputusan membenarkan jaringan meskipun bola dilihat terkena tangan Wilson.

Moyes merasakan pasukannya dinafikan dua mata berharga selepas mereka di ambang kemenangan apabila Marko Arnautovic menghasilkan dua gol menuju permainan tamat.

“Bila penjaga garisan mengangkat bendera, anda fikir ‘kami boleh keluar dari situasi buruk sedikit,” kata Moyes kepada pemberita selepas perlawanan.

“Bagaimanapun untuk menafikan keputusan penjaga garisan, saya sukar mempercayainya. Saya fikir anda boleh mempertikaikan keputusan ofsaid kerana kedudukan agak sama.

“Tapi apa yang anda tidak boleh mempersoalkan adalah pemain Bournemouth (Wilson) menggunakan tangan untuk menjaringkan gol. Bila saya lihat kekecohan itu, saya fikir adalah mustahil untuk beliau mengubah keputusan itu.

“Saya fikir, beliau menyatakan pembantu pengadil hanya mengangkat bendera untuk mendapatkan perhatian dan saya tidak pernah mendengar situasi sebegini.”

Jaringan Dan Gosling dan Nathan Ake meletakkan Bournemouth di depan selepas James Collins menanduk masuk gol pertama pasukan pelawat.

“Kami kecewa kerana berada pada minit akhir permainan dan mendahului 3-2,” kata Moyes.

“Kami bangkit berjuang dan untuk melepaskan gol seperti itu sememangnya membunuh semangat kami.”

Keputusan seri menyaksikan West Ham hanya satu mata di luar zon penyingkiran selepas aksi cemerlang menewaskan Chelsea dan terikat dengan Arsenal sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 10:15 AM