PEMAIN Stoke City kecewa selepas tewas 1-2 kepada Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium bet365. FOTO Reuters
PEMAIN Stoke City kecewa selepas tewas 1-2 kepada Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium bet365. FOTO Reuters
AFP

SELEPAS sedekad bersaing dalam saingan utama, Stoke City tersingkir daripada kancah Liga Perdana Inggeris apabila tewas 1-2 di tangan Crystal Palace, malam ini.

Lebih memeritkan kekalahan itu hadir biarpun mereka berjaya mendahului pihak lawan.

Skuad kendalian Paul Lambert berada di kedudukan kedua tercorot liga, tiga mata dipisahkan dengan zon selamat tetapi dengan hanya berbaki satu perlawanan, mereka terpaksa akur tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.

Dengan Swansea City yang berada di kedudukan keempat dan Southampton ketiga terbawah liga akan membuat perhitungan pada aksi pertengahan minggu, ia adalah mustahil untuk Stoke mengutip mata mencukup daripada bagi mengelak penyingkiran.

Stoke menghabiskan 10 musim dalam saingan Liga Perdana Inggeris tetapi 13 perlawanan tanpa kemenangan menyaksikan mereka tidak mampu lagi bertahan musim ini.

Penjaga gol Stoke, Jack Butland menitiskan air mata sebaik wisel penamat dibunyikan dan kesedihan turut dirasai penyokong setia kelab berkenaan yang perlu menerima hakikat kelab kesayangan mereka tersingkir.

Kapte Stoke, Ryan Showcross mengakui pemain perlu menyalahkan diri sendiri di atas keputusan itu.

"Sudah pasti ia sukar, tetapi ia bukan hanya mengenai satu perlawanan. Ia adalah saingan sepanjang musim dan kami tidak cukup bagus sepanjang musim.

"Apa pun, semuanya terpulang kepada pemain," katanya.

Sementara itu, Lambert berkata: "Emosi saya tidak menentu sekarang, ia adalah waktu yang sukar. Saya dapat rasakan apa yang dirasai oleh semua orang yang terbabit dengan kelab ini.

"Sejak kehadiran saya, pemain sudah memberikan semuanya, tetapi gagal. Ia adalah peluang untuk bangkit," katanya.

Dalam perlawanan itu, Xherdan Shaqiri yang menggangap pertemuan dengan Palace sebagai 'perang' meledak gol pertama buat Stoke pada minit ke-43 tetapi James McArthur menyamakan kedudukan menerusi jaringannya minit ke-68.

Patrick van Aanholt muncul wira Palace apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 sekali gus menyingkirkan Stoke daripada saingan Liga Perdana Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 11:09 PM