AYAM tambatan Negeri Sembilan, N Thanabalan mengesahkan tidak akan beraksi bertemu Kuala Lumpur gara-gara masih dibelenggu kecederaan hamstring. Foto MOHD FADLI HAMZAH
AYAM tambatan Negeri Sembilan, N Thanabalan mengesahkan tidak akan beraksi bertemu Kuala Lumpur gara-gara masih dibelenggu kecederaan hamstring. Foto MOHD FADLI HAMZAH
Rodly Fadly


JIKA Kuala Lumpur kehilangan khidmat Zaquan Adha Radzak, lawannya malam esok, Negeri Sembilan pula terpaksa melupakan khidmat ayam tambatannya, N Thanabalan.

Thanabalan mengesahkan dia tidak akan beraksi pada perlawanan kedua Liga Super itu gara-gara masih dibelenggu kecederaan hamstring yang dialami ketika tugasan bersama skuad muda negara pada Kejohanan B-23 AFC di China, bulan lalu.

Dia turut terlepas aksi sulung Negeri Sembilan, Sabtu lalu, yang menyaksikan skuad bimbingan Jorg Steinebrunner itu tewas 0-1 kepada PKNP FC di Stadium Negeri, Batu Kawan.

“Kecederaan ini agak mengecewakan kerana saya memang begitu teruja untuk beraksi dalam Liga Super. Tapi saya perlu akur serta menerima hakikat ia asam garam dalam bola sepak.

“Saya perlu menunggu lagi untuk aksi pertama, mungkin hanya dapat bermain dalam perlawanan ketiga menentang Melaka United, Ahad ini.

“Saya yakin bersedia 100 peratus untuk perlawanan itu serta mampu memberi sumbangan kepada pasukan. Bagaimanapun ia bergantung kepada jurulatih, sama ada mahu menurunkan saya atau tidak,” katanya.

Mengenai perlawanan malam esok, Thanabalan menganggap pertemuan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, bagai menemukan dua harimau luka selepas kedua-dua pasukan tewas dalam perlawanan sulung masing-masing.

“Kuala Lumpur yang tewas (0-2) kepada Selangor sudah pasti mahu mengelak ia berulang di Paroi. Begitu juga Negeri Sembilan, apatah lagi bermain di tempat sendiri. Perlawanan ini saya jangkakan sengit.

“Kami harus menggunakan kesempatan bermain di gelanggang sendiri sebagai satu kelebihan untuk meraih tiga mata. Saya yakin rakan sepasukan mampu melakukannya,” tegas Thanabalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 10:25 PM