THANABALAN makin mantap bersama taktikal Lomas. FOTO/FAIL
THANABALAN makin mantap bersama taktikal Lomas. FOTO/FAIL
Mohd Amin Jalil


PENYERANG muda Negeri Sembilan, N Thanabalan akui tugas dan tanggungjawabnya semakin mencabar dalam membantu memantapkan lagi jentera serangan pasukan itu dengan kehadiran pemain import baharu, Angel Guirado.

Pemain berusia 23 tahun itu dilihat mula mendapat kepercayaan Mario Lemos apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama selaku penyerang sayap dalam aksi Liga Super ketika ini.

"Ketua jurulatih (Lemos) sudah mengarahkan saya supaya memainkan peranan proaktif dalam membantu jentera serangan yang kini digalas import baharu, Guirado.

"Memang ia tugas agak mencabar kerana saya perlu lebih pantas dan bijak melarikan bola serta memastikan mampu melakukan hantaran tepat ke tengah dan dalam kawasan pintu gol lawan.

"Saya juga perlu berkomunikasi dengan baik dengan Guirado bagi memastikan setiap gerakan di bahagian depan lebih berkesan dan peluang menjaringkan gol tidak tersasar," katanya di sini, hari ini.

Dalam pertembungan dengan Kelantan di Paroi Sabtu lalu yang berkesudahan Negeri Sembilan menang 2-0, Thanabalan disenaraikan dalam kesebelasan utama dan bertindak selaku penyerang sayap.

Thanabalan akui dia perlu meningkatkan lagi prestasi dan tindakan penyudah kerana pasukan tidak boleh meletakkan sepenuhnya tugas menjaringkan gol kepada Guirado dan Moraes Gomes atau Nicolas Velez yang beraksi di bahagian tengah.

"Saya perlu lebih bijak dan tenang di hadapan pintu gol lawan. Ketika menentang Kelantan saya gagal memanfaatkan peluang kerana sedikit gopoh.

"Saya berazam untuk tidak mengulangi kesilapan seperti itu dan dapat melakukan persembahan lebih baik menentang PKNS FC, Ahad nanti. Kami perlu gunakan peluang kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk capai kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 4:18 PM