THANABALAN ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Senawang, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
THANABALAN ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Senawang, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Amin Jalil


“SAYA lega dan amat gembira apabila kereta yang hilang sudah ditemui. Terima kasih kepada pihak polis dan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin membantu mendapatkan semula kereta itu," kata pemain bola sepak

negara bawah 23 tahun (B-23) dan Negeri Sembilan, N Thanabalan.

Penyerang berusia 22 tahun itu berkata, dia tidak senang duduk sepanjang hari kerana memikirkan kejadian itu dan berusaha mencarinya bersama beberapa rakan.

Menurutnya, kereta Proton Iswara biru bernombor pendaftaran TQ 5158 itu dibeli pada harga RM3,000 pada 2016, dan sering digunakan untuk ke tempat menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan.

Katanya, walaupun ia kereta terpakai tetapi amat berjasa kepadanya dan keluarga, malah mempunyai nilai sentimental yang sukar dicari ganti.

"Sebab itu, saya dan keluarga amat sayangkan kereta itu kerana ia bukan saja digunakan oleh saya setiap kali menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan, tetapi turut digunakan oleh ahli keluarga untuk urusan harian.

"Apabila kereta itu hilang, saya rasa sedih dan berusaha mencarinya di sekitar Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kini saya lega apabila ia ditemui semula awal pagi tadi hasil kerjasama polis dan orang ramai walaupun beberapa barangan peribadi dalam kereta itu hilang," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Senawang, di sini, petang ini.

Kereta berkenaan dilaporkan hilang selepas pemain terbabit meletakkannya tidak jauh dari Batu Caves ketika menghadiri sambutan Thaipusam, Rabu lalu.

Thanabalan yang menaiki kereta itu bersama keluarganya dari Senawang, dilaporkan meletakkan kereta berkenaan pada 3 pagi dan disedari hilang sebaik selesai menghadiri upacara keagamaan itu.

Susulan itu, dia memaklumkan kejadian berkenaan menerusi Facebook serta Instagram peribadinya, yang mendorong orang ramai menyebarkan maklumat itu.

Awal pagi tadi, Polis Selangor mengesahkan menemui kereta terbabit di sebuah stesen minyak di Ampang.

Thanabalan berkata, ia kehilangan kenderaan kali kedua berlaku dalam hidupnya selepas tahun lalu membabitkan Perodua Kancil.

"Tahun lalu kereta (Perodua) Kancil saya hilang di Kuala Lumpur ketika menjalani latihan bersama FELCRA FC," katanya.

Pemain kelahiran Rantau itu berharap kejadian berkenaan tidak akan berlaku lagi pada masa depan dan akan bersikap lebih berhati-hati.

“Saya menasihatkan individu yang melakukan perbuatan itu supaya tidak mengulangi tindakan berkenaan, lebih-lebih lagi melakukannya di tempat upacara agama,” katanya.

Berita berkaitan

Iswara Thanabalan dah jumpa...

Iswara Thanabalan kena curi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 5:47 PM