Pemain Sabah FC termasuk Amri (dua dari kiri) ketika menjalani latihan di Padang SAFA, di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Sabah FC
Pemain Sabah FC termasuk Amri (dua dari kiri) ketika menjalani latihan di Padang SAFA, di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Sabah FC
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto berkata, pasukan itu akan cuba mengelak daripada alami kekalahan pada aksi pembukaan Liga Super mereka bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Katanya, perlawanan pertama sentiasa sukar bagi mana-mana pasukan bertanding namun beliau tetap mahu anak didiknya menerapkan mentaliti mahu menang.

"Kita juga akan mengubah 'game plan' kita kerana empat pemain import masih belum boleh beraksi bersama pasukan.

"Bagaimanapun, saya yakin dengan pemain yang ada dan saya juga mahu mereka yakin dengan kekuatan yang ada pada pasukan, mudah-mudahan kita mendapat mata di Melaka nanti," katanya.

Kurniawan berkata, beliau masih belum memutuskan siapa 11 pemain yang akan memulakan perlawanan esok kerana hanya pemain yang benar-benar di tahap terbaik akan diturunkan.

Katanya, empat pemain juga terpaksa disisihkan untuk aksi pertama esok iaitu penjaga gol, Rozaimie Rohim, Maxsius Musa, Azwan Abdul Fattah dan N Thanabalan.

"Untuk kesebelasan utama, saya belum membuat keputusan lagi, kita akan lihat esok mana pemain yang berada di kondisi terbaik, dialah yang akan diturunkan.

"Bagaimanapun, kita tidak membawa bersama empat pemain yang cedera iaitu Rozaimie, Maxsius, Azwan dan Thanabalan kerana kita tidak mahu mengambil risiko, saya mahu mereka benar-benar cergas baru diturunkan," katanya.

Aksi malam esok pastinya sukar buat Kurniawan kerana hanya menggunakan seorang pemain import iaitu pertahanan dari Korea Selatan, Park Taesu.

Empat lagi pemain import yang belum menyertai skuad Badak ialah Sam Johnson dari Liberia, Risto Mitrevski (Macedonia), Levy Madinda (Gabon) dan Saddil Ramdani (Indonesia).

Tahun ini juga adalah musim kedua Sabah FC beraksi dalam saingan Liga Super dan pada musim pertama lalu, pasukan itu sekadar menduduki tangga ke-10 daripada 10 perlawanan.

Pada musim baharu ini, selain empat pemain import baharu, Sabah juga akan diperkuatkan dua bekas pemain kebangsaan iaitu Mohd Amri Yahya dan Thanabalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 7:58 PM