PACHECO teruja beraksi bersama Selangor.
PACHECO teruja beraksi bersama Selangor.
Syafiq Aznan


PERTAHANAN baru Selangor, Willian Pacheco tetap menjaga dietnya meskipun masih dikelilingi ‘syurga makanan’ selepas mengambil keputusan berhijrah ke negara ini dengan menyertai skuad The Red Giants.

Pemain yang terkenal dengan julukan ‘Tugu Monas’ itu menjelaskan faktor pemakanan sentiasa menjadi aspek penting buat dirinya sebagai usaha memastikan dia sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik untuk beraksi.

“Saya sentiasa mengawal pemakanan saya kerana saya adalah pemain yang begitu mementingkan kesihatan diri sendiri.

“Saya belum mencuba apa-apa makanan popular di sini tetapi sekadar mencuba untuk merasainya, mungkin tiada salahnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bekas pertahanan Persija Jakarta itu adalah satu daripada empat pemain import skuad Merah Kuning bagi musim 2018 selain dua pemain muda Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn serta penyerang kelahiran Sepanyol, Rufino Segovia.

Mengulas lanjut mengenai pasukan Selangor, pertahanan berusia 26 tahun itu mengakui dia tidak menyesal untuk meninggalkan Persija Jakarta selepas berjaya membantu pasukan dari Indonesia itu mara ke saingan Piala AFC 2018.

“Satu pengalaman yang unik selepas dua tahun bersama Persija Jakarta dan membantu mereka ke Piala AFC namun saya mahu mencari pengalaman baharu.

“Saya sentiasa meminati pasukan Selangor dan peluang untuk menyertai pasukan ini seharusnya tidak dilepaskan,” katanya.

Dalam masa sama, pemain kelahiran Brazil itu tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran serta rakan sepasukan baharu.

“Saya diterima dengan baik oleh rakan sepasukan dan saya sudah berjaya menyesuaikan diri di sini. Pengalaman ketika bersama pasukan lama tidak begitu berbeza dengan pasukan Selangor.

“Malah, saya teruja dengan kemampuan pemain muda pasukan ini dan dengan kemasukan Evan serta Ilham yang sememangnya berpotensi besar, saya yakin kami mampu memberi cabaran yang sengit pada musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 5:44 PM