MANIAM (tengah) harap pemainnya dapat sesuaikan diri. -Foto fail
MANIAM (tengah) harap pemainnya dapat sesuaikan diri. -Foto fail
Syafiq Aznan


KESERASIAN dengan pasukan baharu dilihat menjadi aspek utama yang ditekankan oleh pengendali Selangor, P Maniam ke atas dua pemain import baharu skuad The Red Giants dari Indonesia, Evan Dimas serta Ilham Udin Armaiyn.

Tegas bekas jurulatih Air Asia FC itu, masih ada tempoh empat minggu sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya, jadi beliau mengharapkan dua tonggak skuad Bawah 23 tahun (B-23) Indonesia itu tidak bergelut dengan corak permainan dan taktikal yang akan diterapkannya.

“Saya mahukan mereka segera menyesuaikan diri dengan semua pemain lain, tetapi dengan kualiti yang dimiliki mereka selaku pemain profesional, saya percaya mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan apabila berada dalam pasukan baharu.

“Saya kira tempoh empat minggu ini sudah mencukupi untuk membentuk pasukan bagi mengharungi musim ini dan saya cukup berpuas hati dengan senarai semua pemain yang ada buat masa ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kehadiran dua pemain muda Skuad Garuda itu, Maniam mengakui kelibat dua pemain terbabit akan dapat membantu melancarkan perancangan membentuk pasukan yang lebih mantap.

“Saya lega apabila masalah yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan secara positif dan dengan adanya dua pemain ini, ia memudahkan kerja saya untuk membentuk pasukan.

“Saya juga sudah mempunyai perancangan taktikal untuk Evan dan Ilham dalam pasukan,” katanya.

Evan dan Ilham akhirnya tiba di Malaysia, petang semalam selepas kemelut mengenai perpindahan mereka berjaya diselesaikan dengan cara yang baik antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).

Ketika ini, tiga pemain import Selangor sudah hadir menyertai pasukan terbabit untuk aksi pra musim termasuk pemain import tunggal kelahiran Sepanyol yang dikekalkan daripada musim lalu, Rufino Segovia.

Seorang lagi pemain import yang juga pernah beraksi di Indonesia, Willian Pacheco dijadual akan tiba di Malaysia, pagi esok dan bekas pemain Persija Jakarta itu akan mengisi posisi pertahanan tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 6:36 PM