EVAN Dimas (kiri) antara penyerang import disegani. - FOTO MOHD BADLISHAH MOHD ALI
EVAN Dimas (kiri) antara penyerang import disegani. - FOTO MOHD BADLISHAH MOHD ALI
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Meskipun berdepan dengan isu kebanjiran pemain import 'pencen', dua pasukan Liga Super – Pahang dan Selangor – dilihat masih memberi kepercayaan kepada tenaga muda apabila masing-masing mendaftarkan tiga import berusia 25 tahun ke bawah bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pahang yang dikendalikan Dollah Salleh menggunakan khidmat penyerang Kemboja, Chan Vathanaka (24), penyerang Gambia, Mohamadou Sumareh (23) dan juga Patrick Cruz (24) manakala Red Giants membariskan dua tonggak muda Indonesia, Evan Dimas (21) dan Ilham Udin Armaiyn (21) serta bekas pertahanan Persija Jakarta, Willian Pacheco (25).

Selain Pahang dan Selangor, PKNS FC turut membariskan dua pemain import berusia 25 tahun ke bawah iaitu pemain tengah Singapura, Faris Ramli dan bintang muda Colombia, Romel Ramirez (20) yang menjadi pemain import paling muda dalam saingan Liga Super musim ini.

Negeri Sembilan, PKNP FC dan juga Kelantan masing-masing memiliki seorang pemain import berusia bawah 25 tahun iaitu Mony Udom (23), Keo Sokpheng (25) dan Do Donghyun (24).

Sementara itu, saingan Liga Perdana menyaksikan UiTM FC membariskan dua pemain import berusia 25 tahun ke bawah iaitu pertahanan tengah kelahiran Jepun, Kota Kawase (25) dan penyerang Argentina, Lucas Ramon (24).

Bagaimanapun, pemain paling muda dalam saingan Liga Perdana ialah pemain tengah FELCRA FC, Endrick Dos Santos Parafita (22).

Daripada 12 pasukan yang bersaing dalam Liga Perdana musim ini, hanya tiga pasukan yang tidak mempunyai pemain import berusia 25 tahun ke bawah iaitu FELDA United, Kuantan FA dan juga Pulau Pinang.

Secara keseluruhan, Liga Super membariskan 11 pemain berusia bawah 25 tahun dan Liga Perdana memiliki 10 dalam kelompok usia terbabit.

Jumlah ini meliputi 22.58 peratus daripada 108 pemain import yang didaftarkan bagi mengharungi saingan Liga M musim 2018.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 9:26 PM