PENDIDIKAN mengenai akidah perlu dipastikan daripada sumber yang menepati pegangan ASWJ.
PENDIDIKAN mengenai akidah perlu dipastikan daripada sumber yang menepati pegangan ASWJ.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari (wafat 324H) adalah tokoh ulama yang prolifik. Setelah kembali kepada fahaman Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) beliau menyusun banyak kitab. Dikatakan, karya beliau melebihi 200 kitab. Namun, dalam kitab Tabyin Kazib al-Muftari, Imam Ibn Asakir hanya dapat menyenaraikan sebanyak 98 sahaja. Cuma sayangnya, daripada jumlah itu hanya enam sahaja kitab beliau yang sampai kepada kita pada hari ini iaitu al-Ibanah 'an Usul al-Diyanah, al-Luma', Risalah Ahl al-Thaghr, Maqalat al-Islamiyyin, al-Hath 'ala al-Bahth atau Istihsan al-Khaudh fi 'Ilm al-Kalam dan Mas'alah al-Iman.

Antara karyanya yang sering menjadi polemik ialah kitab al-Ibanah. Terdapat pihak yang mendakwa, kononnya al-Ibanah adalah kitab terakhir Imam al-Asy'ari yang menjadi bukti sebagai akidah terakhir pegangan beliau dan sekali gus memansuhkan pandangan beliau dalam semua karyanya yang lain. Namun, mereka tidak memberikan sebarang bukti kukuh bahawa Imam al-Asy'ari sesudah kembali kepada ASWJ, telah membuat sekali lagi penghijrahan untuk kali kedua. Bermakna menurut dakwaan terbabit, terdapat dua kali penghijrahan dalam hidup beliau.

Pertama, beliau kembali kepada fahaman ASWJ dengan mengikuti aliran Imam Ibnu Kullab yang didakwa masih mempunyai sedikit pengaruh fahaman Muktazilah.

Kedua, beliau kembali kepada fahaman ASWJ sepenuhnya dengan berpegang kepada akidah Imam Ahmad dan akidah Salaf.

Hakikatnya, berdasarkan fakta sejarah hanya terdapat sekali sahaja penghijrahan dalam hidup Imam al-Asy'ari, bukan dua kali. Malah, tidak ada bukti jelas kitab al-Ibanah itu memansuhkan segala pandangan beliau dalam seluruh karya beliau yang lain. Secara zahir, semua karya beliau selepas kembali kepada ASWJ adalah menggambarkan keseluruhan pendirian, manhaj dan pemikirannya yang saling melengkapi antara satu sama lain serta tidak terpisah-pisah.

Ini terbukti apabila golongan Hasyawiyyah atau Ghulat al-Hanabilah masih terus mengkritik dan menyerang Imam al-Asy'ari sejak beliau masih hidup hatta setelah beliau wafat sekalipun. Antaranya, kecaman al-Barbahari (wafat 329H), 'Syaykh al-Hanabilah' zaman itu yang menolak idea penggabungan dalil naqli dan dalil aqli Imam al-Asy'ari.

Kata Syeikh al-Kawthari: "Imam al-Asy'ari telah mempersembahkan kitab al-Ibanah kepada al-Barbahari pada awal perpindahannya kepada akidah Ahli Sunnah. Ia mengandungi sebahagian pandangan yang tidak diberikan sebarang penghujahan kerana beliau ingin mengambil hati perawi (Hasyawiyyah) tersebut bagi menarik mereka kepada kebenaran. Tetapi, beliau masih tidak dapat memberikan sebarang manfaat melaluinya". (lihat: Muqaddimat al-Kawthari, hlm ‏247)

Lebih dahsyat lagi, al-Hafiz Ibnu Mandah (wafat 395H) pernah menyifatkan Asy'ariyyah atau Asy'ariyyun, pengikut Imam al-Asy'ari sebagai golongan zindiq. Di dalam al-Radd ala Man Ankara al-Harf wa al-Sawt (hlm 81), iaitu risalah Abu Nasr al-Sijzi (wafat 444H) kepada ahli Zabid mengenai suara dan huruf, beliau mendakwa bahawa Imam al-Asy'ari dan tokoh lain yang menentang Muktazilah sebenarnya hanya berpura-pura. Padahal semua masih mengikut pandangan mereka. Malah dakwanya, mereka lebih teruk lagi daripada Muktazilah daripada segi batin!

Kecaman melampau juga dilontarkan oleh Abu Ali al-Ahwazi (wafat 446H) dalam kitabnya Mathalib Ibn Abi Bisyr yang dikritik hebat oleh Imam Ibn Asakir dalam kitab Tabyin Kazib al-Muftari. Kata Abu Ali al-Ahwazi: "Sesungguhnya golongan Hanabilah tidak menerima daripadanya apa yang beliau zahirkan dalam kitab al-Ibanah itu dan memulaukannya". Sindirnya juga: "Sesungguhnya pengikut al-Asy'ari menjadikan kitab al-Ibanah sebagai perisai daripada golongan Hanabilah". Tohmahan dan cercaan terhadap Imam al-Asy'ari turut dimuatkan oleh Abu Ismail al-Ansari al-Harawi (wafat 481H) yang digelar 'Syaykh al-Islam' oleh Hanabilah dalam kitabnya, Zamm al-Kalam.

Bagaimanapun, manuskrip al-Ibanah yang wujud pada hari ini diduga mengalami campur tangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan membuat pengurangan dan tokok tambah di dalamnya.

Disebabkan itu, Syeikh al-Kawthari menyarankan agar kitab al-Ibanah perlu dicetak semula berdasarkan manuskrip yang konkrit. Sedangkan, manuskrip paling lama al-Ibanah baru ditulis pada 1084H, sangat jauh tempohnya dengan era Imam al-Asy'ari dalam jarak sekitar 760 tahun!

Kritikan terhadap Imam al-Asy'ari dan Asy'ariyyah bukan sahaja datang daripada golongan Hasyawiyyah atau Ghulat al-Hanabilah, bahkan juga datang daripada sebahagian ulama hadis yang menolak metod dalil aqli. Namun, selagi mereka memegang kaedah tafwidh iaitu menyerahkan hakikat atau makna sebenar sifat khabariyyah kepada Allah SWT, ia tidaklah mengeluarkan mereka daripada fahaman ASWJ.

Justeru, aliran Mufawwidhah daripada kalangan ulama hadis atau Athariyyah dan Fudhala' Hanabilah masih dikira dalam golongan ASWJ.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 6:00 AM