UMAT Islam wajib mempertahankan fahaman Ahli Sunah Waljamaah demi menjaga akidah.
UMAT Islam wajib mempertahankan fahaman Ahli Sunah Waljamaah demi menjaga akidah.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Muncul mutakhir ini segelintir pihak yang menjaja jenama 'akidah Salaf', namun dalam agenda mereka turut menyesatkan akidah majoriti ulama Islam yang berfahaman Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) al-Asyairah dan al-Maturidiyyah. Jika as-Sayyid Abu al-Hasan Ali an-Nadwi dalam buku Surotan Mutadhaddatan menempelak golongan Syiah kononnya selepas kewafatan Nabi SAW, majoriti sahabat RA murtad kecuali empat orang sahaja. Walhal sebenarnya dakwaan tersebut mengandungi penghinaan terhadap Nabi SAW, seolah-olah baginda gagal mendidik sahabatnya selepas berpenat lelah menggembleng usaha dakwah dan tarbiah selama 23 tahun. Maka, begitu juga golongan ekstremis Wahhabi yang mendakwa majoriti ulama Islam menyimpang daripada akidah Salaf, seolah-olah ulama Salaf gagal menerapkan akidah yang benar kepada generasi ulama Islam selepas mereka.

Dari mana timbulnya perebutan jenama 'akidah Salaf' ini? Bagi memahaminya, mari kita telusuri sejarah perkembangan fahaman Jahmiyyah yang diasaskan oleh Jahm bin Safwan (meninggal 128H) dan fahaman Muktazilah yang dipelopor oleh Wasil bin 'Ata' (meninggal 131H) yang melampau dalam mengutamakan penggunaan dalil aqli ke atas dalil naqli. Begitu juga perkembangan fahaman Mujassimah Musyabbihah yang dibawa oleh Muqatil bin Sulaiman (meninggal 150H) yang melampau dalam mensabitkan zahir dalil naqli serta menolak dalil aqli.

Fahaman Jahmiyyah dan Muktazilah pernah mendapat tempat istimewa dalam kerajaan Islam apabila Khalifah al-Ma'mun (198-218H) menganuti fahaman tersebut. Malah, beliau menjadi khalifah pertama yang menyeru dan memaksa ulama untuk mengikuti fahaman bidaah berkenaan. Antara tokoh Muktazilah terkenal pada zamannya ialah Bisyr al-Marisi (meninggal 218H).

Pada zaman Khalifah al-Mu'tasim (218–227H) pula, Imam Ahmad (wafat 241H) pernah dipenjarakan selama 28 bulan dan disebat kerana enggan mengatakan 'al-Quran itu makhluk'. Pada zaman Khalifah al-Wathiq (227–232H) pula, Imam Ahmad cuba diusir dari Baghdad menyebabkan beliau terpaksa bersembunyi sehinggalah khalifah meninggal dunia. Hanya pada zaman Khalifah al-Mutawakkil (232-247H), barulah fahaman bidaah yang dipegang khalifah sebelumnya dihapuskan. Al-Mutawakkil memuliakan Imam Ahmad dan menjunjung fahaman ASWJ.

Peristiwa dahsyat ini meninggalkan kesan besar dalam kalangan ulama ASWJ. Pendirian teguh Imam Ahmad juga menjadi inspirasi kepada ramai ahli hadis dalam mengangkat penggunaan dalil naqli dan memberi peringatan mengenai bahaya takwil yang berpaksikan akal semata-mata.

Disebabkan itu, banyak kita dapati respons yang tegas daripada mereka dalam menjunjung akidah Salaf dan menolak fahaman Jahmiyyah. Antaranya kata Imam at-Tirmizi (wafat 279H) dalam Sunannya: "Kata ahli ilmu: 'Boleh jadi sabit riwayat mengenai perkara ini (sifat Allah SWT) dan ia perlu diimani, namun jangan dibayangkan dan jangan ditanya: Bagaimana?'". Demikian diriwayatkan daripada Malik, Sufyan bin Uyainah dan Abdullah bin al-Mubarak bahawa mereka berkata mengenai semua hadis ini: 'Lalukanlah sahaja ia tanpa (pertanyaan) bagaimana'. Demikian juga pandangan ahli ilmu daripada kalangan Ahlus Sunnah Waljamaah."

Melalukan bacaan pada semua hadis sifat ini menurut majoriti ulama ASWJ dikenali sebagai kaedah tafwidh, iaitu menyerahkan hakikat atau makna sebenarnya kepada Allah SWT. Inilah pegangan akidah Salaf yang benar di samping turut dikesan juga daripada sebahagian mereka menggunakan metod takwil seperti Imam Malik, Imam asy-Syafii, Imam Ahmad, Imam al-Bukhari dan lain-lain.

Namun begitu, respons sesetengah ahli hadis didapati agak berlebih-lebihan sehingga turut berpegang dengan hadis daif, munkar dan palsu. Akhirnya sama ada disedari atau tidak, mereka menghampiri pula kepada fahaman Mujassimah Musyabbihah. Sebagaimana yang dapat ditinjau buktinya dalam kitab an-Naqdhu 'ala Bisyr al-Marisi dan ar-Radd 'ala al-Jahmiyyah yang dinisbahkan kepada Uthman bin Said ad-Darimi (wafat 280H), kitab as-Sunnah wa al-‎Jam'ah oleh Harb bin Ismail al-Kirmani (wafat 288H) dan kitab as-Sunnah oleh Abdullah bin Ahmad bin Hanbal (wafat ‏290H).

Meskipun terdapat ibarat yang menunjukkan aspek tafwidh dalam semua kitab ini, namun terdapat juga unsur tasybih dan tajsim (antropomorfisme) yang jelas. Ringkasnya, ia turut mempromosi fahaman sesat Mujassimah Musyabbihah yang meyakini sifat Allah SWT itu berjisim, bersaiz dan berimej sama seperti sifat makhluk. Ini manhaj akidah yang keliru dan mesti ditolak kerana manhaj akidah yang benar mestilah dibina di atas keyakinan yang jelas.

Di tengah-tengah kekeliruan golongan Hasyawiyyah dan kesesatan golongan Muktazilah inilah muncul Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari (260-324H), bangkit mempertahankan akidah Salaf yang sebenar dengan menggunakan manhaj yang lebih kemas dan tersusun, menggabungkan aspek naqli serta aqli secara berdisiplin.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 6:01 AM