MAJORITI ulama Islam pasca kalam ASWJ amat memahami mana ilmu kalam yang dipuji dan mana ilmu kalam dicela akibat tidak terikat dengan asas al-Quran serta sunah. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
MAJORITI ulama Islam pasca kalam ASWJ amat memahami mana ilmu kalam yang dipuji dan mana ilmu kalam dicela akibat tidak terikat dengan asas al-Quran serta sunah. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Metode kalam yang dibawa oleh Imam al-Asy'ari (wafat 324H) sudah muncul asasnya dalam kalangan generasi Salaf apabila sebahagian mereka melihat peri pentingnya menghadapi hujah fahaman ahli bidaah dengan 'senjata' mereka sendiri yang mampu mematahkannya dan mengembalikan mereka semula kepada kebenaran.

Antara pelopor metode kalam ini ialah Imam Ibnu Kullab (wafat selepas 240H) dan pengikutnya yang cukup terkehadapan mendukung akidah Salaf melalui metode kalam versi Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ). Alirannya turut dikenali sebagai Kullabiyyah yang kemudian memberi pengaruh besar terhadap pemikiran Imam al-Asy'ari.

Namun perlu diketahui, metode kalam yang dikemas kini oleh Imam al-Asy'ari daripada aliran Kullabiyah bukanlah satu-satunya metode kalam yang muncul dalam kurun ketiga Hijrah. Bahkan, terdapat satu lagi metode kalam yang tidak melalui aliran Kullabiyyah muncul dalam tempoh masa yang sama. Metode ini datang daripada aliran Ahli ar-Ra'yi yang terkenal dipelopori oleh Imam Abu Hanifah (wafat 150H) dan sahabat-sahabatnya.

Daripada aliran inilah munculnya Imam al-Maturidi (wafat 333H) yang menyusun dan mengemas kini metode kalam yang tidak begitu jauh bezanya dengan metode kalam Imam al-Asy'ari. Meskipun kedua-duanya jelas hidup sezaman, namun mereka tidak pernah bertemu atau mengenali antara satu sama lain. Malah, masing-masing tidak pernah pun menelaah karya yang dihasilkan oleh pihak yang satu lagi. Ini membuktikan bahawa tidak sedikit ulama ASWJ pada waktu itu melihat betapa penting dan mendesaknya keperluan bagi membangunkan dalil aqli bersama-sama dalil naqli terutama dengan berleluasanya fahaman ahli bidaah seperti Mujassimah, Musyabbihah, Muktazilah dan Jahmiyyah.

Nama lengkap Imam al-Maturidi ialah Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi, nisbah kepada Maturid, sebuah tempat di Samarqand, Uzbekistan. Setakat diketahui, beliau telah menimba ilmu daripada empat orang guru iaitu Abu Bakr Ahmad bin Ishaq al-Juzajani, Abu Nasr Ahmad bin al-Abbas al-Iyadhi, Muhammad bin Muqatil ar-Razi (wafat 248H) dan Nusair bin Yahya al-Balkhi (wafat 268H). Daripada merekalah, Imam al-Maturidi mengambil ilmu naqli dan aqli serta menggagaskan metode kalam yang lebih kemas serta tersusun. Asas rujukan utama beliau dalam menghuraikan akidah ASWJ ini ialah lima karya penting Imam Abu Hanifah, iaitu al-Fiqh al-Akbar, al-Fiqh al-Absat, al-Risalah, al-'Alim wa al-Muta'allim dan al-Wasiyyah. (lihat: 'Aqidah al-Islam wa al-Imam al-Maturidi, Dr Abu al-Khayr Muhammad Ayyub 'Ali, 1983, hlm 102-105)

Beliau menghasilkan lebih daripada 10 karya. Antaranya ialah kitab at-Tawhid, Ta'wilat al-Qur'an, kitab al-Maqalat, kitab al-Usul, Bayan Wahm al-Mu'tazilah, Ma'akhiz al-Syara'i', kitab al-Jadal, Radd Awa'il al-Adillah, Radd Tahzib al-Jadal dan sebagainya.

Kesamaan metode beliau adalah bukti jelas Imam al-Asy'ari bukan bersendirian dalam mengemukakan metode kalam ASWJ yang mampu mempertahankan akidah sahih serta mematahkan hujah fahaman ahli bidaah dan mengembalikan mereka ke jalan yang benar. Perbezaan yang berlaku di antara aliran kedua-dua tokoh ini didapati hanyalah pada isu furuk sahaja, bukan pada usul akidah.

Menurut Imam Ibnu Kamal Basya (wafat 940H) dalam Risalah fi al-Ikhtilaf baina al-Asya'irah wa al-Maturidiyyah, aliran Asyairah dan Maturidiyyah berbeza pada 12 masalah furuk. Menurut Imam al-Bayadhi (wafat 1098H) pula dalam Isyarat al-Maram min 'Ibarat al-Imam melalui kajian yang lebih teliti, mengambil kira segenap aspek sama ada besar atau kecil bahawa kedua-dua aliran berbeza pada 50 masalah keseluruhannya. Namun, semua bersepakat bahawa perbezaan pandangan ini tidak boleh menyebabkan kepada tuduhan bidaah dan kufur antara satu sama lain.

Setelah kemunculan Imam al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi, majoriti ulama ASWJ berpegang dengan metode akidah yang dikemas kini oleh mereka. Secara umumnya, kebanyakan ulama mazhab Hanafi berpegang dengan metode kalam Imam al-Maturidi terutama disebabkan beliau datang daripada aliran Ahli ar-Ra'yi. Kebanyakan ulama mazhab Maliki dan mazhab Syafii pula berpegang dengan metode kalam Imam al-Asy'ari.

Trend ini menunjukkan majoriti ulama Islam pasca kalam ASWJ amat memahami mana ilmu kalam yang dipuji dan mana ilmu kalam dicela akibat tidak terikat dengan asas al-Quran serta sunah. Metode kalam seimbang yang dikembangkan oleh mereka turut berjaya membuatkan fahaman ahli bidaah semakin susut dan berkurangan. Justeru, tidak hairanlah apabila kedua-duanya, Imam al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi kemudian diangkat sebagai mujaddid Islam kurun ketiga Hijrah kerana sumbangan besar mereka dalam mempertahankan akidah ASWJ. Sehingga tidak dikenali ASWJ itu melainkan aliran Asya'irah dan Maturidiyyah.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 7:00 AM