PENDIDIKAN berasaskan ASWJ menghindari sebarang unsur fahaman yang boleh memesongkan akidah.
PENDIDIKAN berasaskan ASWJ menghindari sebarang unsur fahaman yang boleh memesongkan akidah.
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Ada sesetengah pihak mendakwa, Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari (wafat 324H) berpindah kepada fahaman Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) hanya berdasarkan kesedaran dan akal fikirannya semata-mata tanpa melalui sebarang guru atau sanad keilmuan yang jelas. Dakwaan ini sebenarnya tidak benar, malah tiada bukti yang mendukungnya. Dalam siri lalu dijelaskan, antara yang mendidik Imam al-Asy'ari ialah Imam Zakariyya as-Saji (wafat 307H), muhaddith dan Mufti Basrah.

Beliaulah antara tokoh ASWJ yang membentuk pemikiran akidah Imam al-Asy'ari. Jika ditanya, dari mana Imam al-Asy'ari mengambil sanad akidah Salaf yang benar dan dimuatkan dalam pelbagai karyanya? Maka tidak lain, beliau memperolehnya daripada Imam Zakariyya as-Saji ini. Kata al-Hafiz az-Zahabi: "Abu al-Hasan al-Asy'ari mengambil daripadanya kata-kata Salaf mengenai Sifat (Allah SWT) dan Abu al-Hasan berpegang kepadanya dalam sebilangan karya beliau."

Ini bermakna guru akidah Imam al-Asy'ari bukan hanya Abu Ali al-Juba'i (wafat 303H) sahaja, tokoh besar Muktazilah zaman itu yang juga bapa tirinya ketika beliau baru berusia enam atau tujuh tahun. Dengan ini, dakwaan yang mengatakan Imam al-Asy'ari tidak mempunyai sanad akidah ASWJ adalah tertolak dengan sendirinya.

Menurut penelitian penulis, selama beliau dipengaruhi pemikiran sesat Abu Ali al-Juba'i, pengaruh pemikiran Sunni gurunya, Imam Zakariyya as-Saji sebenarnya tidak pernah lekang sedikit pun daripada akal dan jiwanya. Sehinggalah akhirnya beliau insaf dan kembali semula kepada fahaman ASWJ ketika hayat gurunya masih hidup! Buktinya, beliau mampu memuatkan banyak hadis yang diriwayatkan daripada gurunya itu di dalam sebahagian karyanya seperti kitab al-Tafsir.

Kata Imam Ibn Furak (wafat 406H): "Syeikh Abu al-Hasan al-Asy'ari meriwayatkan daripadanya banyak hadis di dalam kitab al-Tafsir." (lihat: Tabyin Kazib al-Muftari, hlm 35)

Malah, ketika beliau bermimpi bertemu Rasulullah SAW, baginda bersabda kepadanya: "Wahai 'Ali, bantulah semua mazhab yang diriwayatkan daripadaku kerana sesungguhnya ia adalah hak." Ini menunjukkan bahawa beliau sebelumnya telah pun mendengar, mempelajari dan sedia mengetahui semua mazhab yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW itu!

Antara kitab awal yang beliau karang setelah kembali kepada fahaman ASWJ ialah kitab al-Luma' dan Kasyf al-Asrar wa Hatk al-Astar. Apabila ulama hadis dan fiqah daripada kalangan ASWJ membaca semua kitab itu, mereka menerima dan memperakui isi kandungannya. Setelah meyakini ketokohan beliau dan mengangkatnya sebagai imam, mazhab akidah mereka juga akhirnya dinisbahkan kepada diri beliau. Lalu, mereka dipanggil sebagai Asy'ariyyah atau Asya'irah, iaitu golongan yang mengikut mazhab Imam al-Asy'ari.

Kata Imam al-Asy'ari dalam Risalah Ahl al-Thaghr (hlm ‏162): "Mereka (ulama ASWJ) bersepakat dalam membenarkan semua yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam al-Quran dan riwayat yang sabit daripada kesemua sunahnya. Dan wajib beramal dengan yang muhkam serta memperakui nas yang musykil dan mutasyabih serta mengembalikan semua perkara tidak diketahui tafsirannya kepada Allah, di samping beriman dengan nasnya. Demikian itu tidak berlaku melainkan pada perkara yang mereka ditaklifkan supaya beriman secara jumlah, bukannya secara tafsil (terperinci)."

Jelasnya, perpindahan Imam al-Asy'ari daripada Muktazilah kepada ASWJ, bukanlah semata-mata disebabkan ilham atau kebetulan, tetapi pastinya diiringi sebelumnya oleh pengetahuan ilmu naqli dan aqli yang mantap serta pengamatan dan penelitian yang cukup mendalam. Sebagai seorang mutakallim hebat, sudah tentu beliau mampu menguasai semua hujah dan dalil pihak yang berselisihan pendapat.

Kecerdasan dan kebijaksanaan akal beliau ini yang membuatkan beliau sentiasa berfikir secara sihat, waras, cermat serta ilmiah. Sebab itu, beliau akhirnya dapat mempersoalkan pegangan akidah Muktazilah bapa tirinya, Abu Ali al-Juba'i.

Mereka yang menyangka Imam al-Asy'ari hanya mahir mengenai akidah Muktazilah serta 'buta' tentang hujah dan dalil pihak lawan, hakikatnya belum lagi mengenal erti sebenar seorang mutakallim. Kitab Maqalat al-Islamiyyin susunan beliau bukti jelas bahawa ia hasil pengalaman beliau selama puluhan tahun sebelumnya. Lantaran itu, beliau kemudian diangkat sebagai 'mujaddid' kerana sumbangan besarnya terhadap survival ASWJ.

Berdasarkan neraca ilmiah yang sahih dan bukti yang dikemukakan, jelas dakwaan mengatakan Imam al-Asy'ari tiada guru atau sanad akidah ASWJ adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali. Dakwaan kosong ini hanya direka untuk kepentingan peribadi perekanya semata-mata. Ia gambaran salah yang perlu diperbetulkan segera agar tidak terus menjadi 'alat mainan' yang gemar digunakan oleh pihak yang sering menyelisihi akidah ASWJ serta menyesatkan ulamanya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:00 AM