PENYERTAAN dalam perarakan sambutan Maulidur Rasul hanya sebahagian cara kita mengingati nikmat besar risalah Nabi Muhammad SAW.
PENYERTAAN dalam perarakan sambutan Maulidur Rasul hanya sebahagian cara kita mengingati nikmat besar risalah Nabi Muhammad SAW.
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Keprihatinan ulama terhadap tema Maulid Nabi SAW bukan perkara baharu. As-Sayyid Muhammad 'Abd al-Hayy al-Kattani dalam karyanya al-Ta'alif al-Maulidiyyah menyenaraikan hampir 130 kitab yang dikarang mengenai Maulid.

Manakala Syeikh Solah ad-Din al-Munjid dalam kitab Mu'jam Ma Ullifa 'an Rasulillah SAW menyenaraikan sekitar 160 kitab Maulid. Bahkan, dijangka masih banyak lagi kitab Maulid yang belum direkodkan.    

Antara kitab Maulid yang masyhur di Nusantara dan banyak dibaca hingga kini ialah Maulid al-Daiba'i oleh al-Muhaddith 'Abd al-Rahman bin 'Ali al-Daiba'i (wafat 944H) dan 'Iqd al-Jauhar oleh mufti Syafi'iyyah di Madinah as-Sayyid Ja'far bin Hasan al-Barzanji (wafat 1177H), yang masyhur dipanggil Maulid al-Barzanji.   

Jumlah kitab Maulid yang banyak ini menunjukkan betapa ulama sejak dahulu mengambil berat terhadap peristiwa ini, sekali gus membuktikan hukum memperingati Maulid Nabi SAW di sisi mereka adalah harus.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ada antara sesetengah kitab Maulid ini mengandungi riwayat palsu. Namun, sangka baik kita terhadap pengarangnya bahawa mereka tidak akan memuatkannya dalam karya mereka sekiranya mereka yakin terhadap kepalsuannya.  

Juga mengandungi riwayat yang terdapat khilaf dalam kalangan ulama, namun pendapat yang kuat mengenainya masih bersifat ijtihadi seperti tarikh lahir Nabi SAW, api biara Majusi terpadam dan istana Kisra Parsi bergegar ketika kelahiran baginda, Nabi SAW lahir dalam keadaan berkhatan, kisah Nabi SAW berjumpa Rahib Bahira dan sebagainya. 

Sekalipun ada yang daif, sekurang-kurangnya ia masih boleh digunakan. Ini kerana karya Maulid adalah sebahagian daripada sirah nabawiyyah dan majoriti ulama hadis mengharuskan periwayatan hadis daif dalam bab sirah, sebagaimana yang penulis jelaskan dahulu.

Namun, ada segelintir pihak berfahaman agak ekstrem menyarankan sebahagian kitab Maulid ini wajar dibakar atau melabelkannya sebagai kitab bidaah yang secara tidak langsung turut meremehkan ulama yang menyusunnya.

Penulis berpendapat, pandangan sedemikian adalah terlalu berlebihan. Sedangkan kritikan boleh dibuat dengan cara lebih berhemah dan beradab. Kalau benar ada riwayat yang dibawakan adalah palsu atau batil secara ijmak ulama, maka kaedah terbaik ialah dinyatakan sahaja pada nota kaki.  

Melainkan sekiranya kitab terbabit berbentuk eksploitasi dengan mempergunakan nama ulama tertentu atau berunsur sabotaj untuk memburukkan namanya dengan cara mengarang kitab yang penuh dengan riwayat palsu dan khurafat, lalu dinisbahkan kepada nama tokoh tertentu.    

Misalnya, kitab 'an-Ni'mat al-Kubra 'ala al-'Alam fi Maulid Sayyid Walad Adam' karangan Imam Ibn Hajar al-Haitami (wafat 974H) ditokok tambah oleh orang yang tidak cermat. Malah, ada pihak yang sengaja memalsukan kitab terbabit dengan judul sama serta menisbahkannya kepada beliau. Lalu mereka yang tidak tahu menyangka bahawa kitab itu adalah karangan Imam Ibn Hajar. Sedangkan di dalamnya banyak riwayat palsu, batil dan tiada asalnya.

Hanya mereka yang cermat mengetahui kaedah pendalilan kitab palsu terbabit amat bertentangan dengan manhaj ilmu Imam Ibn Hajar al-Haitami seperti yang sedia dimaklumi dan dapat dilihat dalam semua karya beliau. Maka, tidak mungkin beliau begitu mudah memuatkan riwayat seperti itu. Antaranya, kononnya ada riwayat daripada Saidina Abu Bakar RA, Saidina 'Umar RA, Saidina 'Uthman RA, Saidina 'Ali RA dan lain-lain mengenai galakan mengadakan sambutan Maulid Nabi SAW.    

Sedangkan, ia jelas bertentangan dengan kata-kata Imam Ibn Hajar sendiri dalam kitab 'an-Ni'mat al-Kubra' yang sebenar bahawa sambutan Maulid Nabi SAW tidak dikesan ada di zaman Salaf. Kata beliau: "Ketahuilah, ia (sambutan Maulid) tidak pernah dinukilkan daripada seorang pun daripada kalangan Salaf tiga kurun pertama yang disaksikan oleh Nabi SAW sebagai kurun yang terbaik. Namun, ia adalah bidaah hasanah (baik) kerana hanya mencakupi perkara seumpama memperbanyakkan belas ihsan terhadap golongan fakir, membaca al-Quran, memperbanyakkan zikir dan selawat atas Nabi SAW serta menzahirkan rasa senang dan gembira dengan kelahiran Baginda SAW."

Perlu diketahui, penyusunan kitab Maulid mengandungi tujuan penting yang sewajarnya disematkan dalam jiwa umat Islam iaitu mengiktiraf nikmat besar yang diperoleh melalui Nabi SAW, menanamkan kecintaan terhadap Baginda, mengamalkan sunnah Baginda serta berpegang teguh dengan syariatnya di sepanjang hayat. Sesungguhnya mendengar riwayat hidup Nabi SAW dan kesempurnaan peribadinya bagi orang yang cinta tidak akan membuatkan rasa jemu dan bosan. Apatah lagi seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat kelak. Tanpa niat dan tujuan ini, sambutan Maulid Nabi SAW tidak akan memberi apa-apa erti.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad),  Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 7:01 AM