SEBAHAGIAN sarjana berpandangan terdapat perbezaan antara metode Mutaqaddimin dan Mutaakhirin. FOTO Arkib NSTP
SEBAHAGIAN sarjana berpandangan terdapat perbezaan antara metode Mutaqaddimin dan Mutaakhirin. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam siri lalu diperkenalkan mengenai ulama hadis Mutaqaddimin dan Mutaakhirin serta had masa yang memisahkan zaman mereka iaitu sekitar 500 Hijrah. Sebahagian pengkaji menamakan period Mutaqaddimin sebagai 'zaman periwayatan' manakala period Mutaakhirin dinamakan sebagai 'zaman pascaperiwayatan.'

Dalam aspek penilaian hadis, sebahagian sarjana berpandangan terdapat perbezaan antara metode Mutaqaddimin dan Mutaakhirin. Mereka menyatakan, metode Mutaqaddimin lebih tepat, mantap dan memadai berbanding Mutaakhirin.

Mereka turut memetik daripada Imam Ibn al-Solah (wafat 643H) dalam Muqaddimahnya menyatakan bahawa jika ada hadis yang ditemui oleh ulama Mutaakhirin bersanad sahih, ia masih tidak dapat dinilai secara pasti sebagai hadis sahih jika ulama Mutaqaddimin tidak menilainya sebagai sahih. Dalam erti kata lain, urusan ijtihad menilai hadis sebagai sahih hanya terbatas pada ulama Mutaqaddimin dan ia terhenti dengan berakhirnya zaman mereka.

Oleh itu, difahami daripada pernyataan ini, seolah-olah beliau menutup pintu penilaian status hadis dan menolak sebarang penilaian baharu yang dibuat oleh ulama Mutaakhirin terhadap sesuatu hadis. Apakah pandangan ini tepat?

Berdasarkan penelitian, ramai ulama hadis Mutaakhirin yang menolak pendapat Ibn as-Solah ini antaranya an-Nawawi, Ibn Taimiyyah, az-Zahabi, al-Ala'i, Ibn Kathir, al-Bulqini, al-Iraqi, Ibn Hajar, Ibn al-Mulaqqin, as-Sakhawi dan as-Suyuti. Mereka berpendapat, ulama hadis Mutaakhirin yang berkeahlian dan berkelayakan harus berijtihad untuk menilai status sesuatu hadis sama ada yang belum pernah dinilai oleh ulama Mutaqaddimin atau penilaian mereka berbeza dengan penilaian ulama Mutaqaddimin.

Secara praktis, penilaian status hadis jelas didapati berterusan dilakukan oleh ulama hadis Mutaakhirin. Malah, sumbangan mereka memberi manfaat yang besar terhadap umat Islam dalam agenda untuk menghidupkan dan mengamalkan sunah Nabi SAW.

Misalnya, al-Munziri (wafat 656H) di dalam kitabnya at-Targhib wa at-Tarhib mengambil berat dalam menentukan status hadisnya. Demikian juga al-Nawawi (wafat 676H) dalam karyanya seperti al-Majmu', Riyadh as-Solihin, al-Azkar dan al-Arba'in.

Al-Iraqi (wafat 806H) yang berperanan mencari sumber asal hadis kitab Ihya Ulumiddin turut berusaha menentukan statusnya. Al-Iraqi juga membimbing al-Haythami (wafat 807H) dalam memberi penilaian terhadap hadis daripada Musnad Ahmad, Musnad Abi Ya'la, Musnad al-Bazzar dan Ma'ajim at-Tabarani yang berjumlah sekitar 18,776 hadis.

Ibn Hajar (wafat 852H), as-Sakhawi (wafat 902H) dan as-Suyuti (wafat 911H) turut mengambil berat dalam menentukan status hadis dalam karya mereka. Demikian juga tindakan ramai ulama hadis Mutaakhirin yang lain.

Sekiranya urusan penilaian status hadis hanya terbatas pada ulama Mutaqaddimin, masih timbul persoalan mengenai perbezaan metode yang digunakan oleh mereka. Masing-masing berpendapat bahawa metode mereka adalah yang terbaik.

Menurut al-Zahabi (wafat 748H), terdapat tiga pendekatan dalam kalangan pengkritik hadis Mutaqaddimin yang membezakan metode mereka dalam mengkritik hadis. Pertama, Mutasyaddidun iaitu golongan yang mengikut syarat yang amat ketat antaranya Yahya al-Qattan (wafat 189H), Ibn Ma'in (wafat 233H), Abu Hatim (wafat 277H), al-Juzajani (wafat 259H) dan al-Nasa'i (wafat 303H).

Kedua, Mutasahilun iaitu golongan yang mengikut syarat yang agak longgar sedikit antaranya al-Tirmizi (wafat 279H), Ibn Syahin (wafat 385H), al-Hakim (wafat 405H) dan al-Bayhaqi (wafat 458H).

Ketiga, Mu'tadilun iaitu golongan sederhana yang mengikut syarat yang seimbang antaranya Ahmad bin Hanbal (wafat 240H), al-Bukhari (wafat 256H), Abu Zur'ah (wafat 264H), Ibn 'Adi (wafat 365H) dan al-Daraqutni (wafat 385H).

Selain itu, ada perbezaan kaedah antara mereka seperti yang dapat dilihat dalam jawapan Imam as-Syafie (wafat 204H) dalam kitab ar-Risalah terhadap pertanyaan Abd al-Rahman bin Mahdi (wafat 198H) tentang isu hadis mursal yang menyalahi kaedah ramai ulama Mutaqaddimin sebelumnya seperti Abu Hanifah (wafat 150H) dan Malik bin Anas (wafat 179H).

Al-Bukhari dan Muslim pula menyalahi pandangan Ahmad bin Hanbal dalam menilai beberapa hadis sebagai sahih manakala ad-Daraqutni terkenal mengkritik sejumlah hadis al-Bukhari serta Muslim. Ibn Hibban (wafat 354H) pula mempunyai metode kritik tersendiri yang menyaingi metode ulama lain. Semua perselisihan ini adalah kerana perbezaan kaedah yang diguna pakai oleh mereka.

Oleh itu, pendekatan golongan Mu'tadilun menjadi pilihan dalam kalangan ramai ulama Mutaakhirin. Di samping pendekatan golongan Mutasyaddidun atau Mutasahilun yang bersesuaian dengan konsep sederhana juga tidak ditolak sepenuhnya. Tanpa menafikan disiplin usul fiqah turut memberi pengaruh terhadap metode hadis ulama Mutaakhirin. Semua ini digarap oleh mereka dalam kebanyakan karya ulum al-hadith yang disusun.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 7:15 AM