KELAHIRAN Nabi Muhammad membawa rahmat kepada seluruh alam dan sirahnya sering dibacakan ketika sambutan Maulidur Rasul.
KELAHIRAN Nabi Muhammad membawa rahmat kepada seluruh alam dan sirahnya sering dibacakan ketika sambutan Maulidur Rasul.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Boleh dikatakan tidak ada di atas dunia ini seorang manusia pun yang riwayat hidupnya direkodkan secara terperinci melalui sumber sahih dan diterima melainkan Nabi Muhammad SAW. Segala yang berkaitan dengan baginda SAW sejak dilahirkan sehinggalah wafat dicatatkan dengan cukup lengkap dan terperinci.

Oleh kerana aspek sirah Nabi SAW tidak membabitkan secara langsung dengan aspek akidah dan ahkam maka ulama memberikan kelonggaran pada syarat periwayatan sirah ini. Kelonggaran ini menjadikan penulisan mengenai sirah Nabi SAW menjadi cukup terperinci mencakupi pelbagai aspek. Ini kerana riwayat yang daif kemungkinan dapat menampung kelompongan kronologi antara peristiwa sirah yang berlaku. Justeru, menjadikannya lebih lengkap dan sempurna.

Tidak dinafikan terdapat riwayat munkar dan palsu yang dapat mencemarkan keindahan sirah Nabi SAW. Namun, kebanyakannya dikesan dan dikenal pasti oleh ulama melalui penapisan sanad dan matan yang meragukan. Selain al-Quran dan kitab hadis, sirah Nabi SAW juga bersumberkan kepada kitab sirah yang ditulis oleh ahli sejarah Islam.

Antara tokoh terkenal yang memberikan sumbangan besar dalam bab sirah ini ialah Ibn Ishaq (wafat 151H) dan al-Waqidi (wafat 207H). Ibn Ishaq ialah Muhammad bin Ishaq bin Yasar al-Madani, seorang daripada ahli sejarah Arab yang paling awal dalam Islam dan pengarang kitab al-Sirah an-Nabawiyyah. Kehebatannya dalam menghafaz hadis sungguh luar biasa sehingga beliau pernah digelar sebagai Amir al-Mu'minin fi al-Hadith (ketua orang Mukmin dalam hadis). Kitab sirah beliau kemudian dikemas kini oleh Ibn Hisyam (wafat 213H) sehingga terkenal disebut sebagai Sirah Ibn Hisyam.

Sementara al-Waqidi pula ialah Muhammad bin Umar bin Waqid al-Madani al-Waqidi, juga antara ahli sejarah klasik terawal dan pengarang kitab al-Maghazi an-Nabawiyyah. Antara muridnya yang paling masyhur meriwayatkan hadis daripadanya ialah Ibn Saad (wafat 230H) pengarang kitab at-Tabaqat al-Kubra yang menjadi rujukan penting dalam sejarah Islam.

Terdapat segelintir pengkritik menolak kredibiliti Ibn Ishaq dan al-Waqidi serta menganggap mereka sebagai Syiah pendusta dan riwayat mereka tidak harus diterima langsung.

Kononnya mereka adalah Syiah yang mempunyai agenda jahat untuk memburukkan sahabat Nabi SAW. Menurut pengamatan penulis, kritikan ini adalah agak berlebihan dan bertentangan dengan pendirian ramai ulama hadis yang tidak menolak secara total riwayat Ibn Ishaq serta al-Waqidi.

Kebanyakan ulama hadis menggunakan pendekatan memilih dan menyaring riwayat mereka iaitu dengan menerima riwayat mereka yang bertepatan dengan riwayat sahih dan tidak bercanggah serta menolak riwayat mereka yang amat lemah dan bercanggah. Fahaman Syiah yang dikaitkan dengan mereka jika benar, sebenarnya tidak begitu memberi kesan besar terhadap kredibiliti mereka kerana ia hakikatnya berbeza dengan fahaman Syiah pelampau. Malah pada zaman mereka iaitu pada kurun kedua Hijrah, fahaman Syiah pelampau yang berpegang kepada Imam Dua Belas belum muncul dan berkembang pesat.

Meskipun kedudukan Ibn Ishaq dikritik oleh sebahagian ulama seperti Imam Malik namun ulama yang memuji dan menyanjungnya lebih ramai bilangannya. Kata al-Hafiz az-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala' dalam mengulas mengenai perselisihan faham antara Imam Malik dan Ibn Ishaq: "Kedua-dua tokoh ini didapati setiap seorang daripada mereka mengkritik pihak yang satu lagi. Cuma kritikan Malik memberi kesan sedikit terhadap kelemahan Ibn Ishaq, manakala kritikan Ibn Ishaq tidak memberi kesan pun terhadapnya walaupun sebesar zarah. Malik terus meningkat naik dan menjadi umpama bintang. Manakala beliau pula meningkat naik berdasarkan kadar kedudukannya terutama dalam bab sirah. Adapun dalam bab hadis ahkam maka hadisnya menurun sedikit daripada status sahih kepada status hasan melainkan pada hadis yang beliau terkeliru padanya maka dikira sebagai hadis munkar. Ini adalah pandanganku mengenai kedudukannya."

Kedudukan al-Waqidi pula berbeza dengan Ibn Ishaq kerana lebih banyak menerima kritikan ulama hadis. Dalam merumuskan mengenai kedudukannya, al-Hafiz az-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala' berkata: "Telah jelas bahawa al-Waqidi adalah daif, hanya diperlukan dalam bab peperangan dan sejarah serta kami membawakan riwayatnya tanpa tujuan berhujah." Katanya lagi: "Kedudukannya di sisiku adalah beliau di samping daifnya, masih boleh ditulis serta diriwayatkan hadisnya kerana aku tidak menuduh beliau memalsukan hadis."

Melalui pencerahan ini diharapkan masyarakat tidak lagi perlu bingung apabila ada suara yang cuba mempersoalkan secara berlebihan kredibiliti tokoh ini serta mempertikaikan ulama yang secara selektif masih menerima riwayat mereka.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:00 AM