SESEORANG yang sangat menjaga amanah sangat mengambil berat soal kewajipan diri dan sentiasa mencari keredaan Allah.
SESEORANG yang sangat menjaga amanah sangat mengambil berat soal kewajipan diri dan sentiasa mencari keredaan Allah.
Dr Mohd Shukri Hanapi

Seseorang pemimpin adalah contoh kepada pengikutnya. Ketokohan dan keterampilannya yang penuh dengan akhlak mulia itu sedikit sebanyak mempengaruhi corak pemerintahannya. Ia terbukti apabila kepemimpinan Rasulullah SAW yang berasaskan akhlak mulia berjaya menarik golongan bukan Islam untuk memeluk Islam dan mentaati baginda sebagai ketua negara.

Pemimpin yang menjadi contoh sepatutnya menunjukkan perilaku baik dalam kepemimpinan dan kehidupan hariannya. Antara sifat yang amat diperlukan dalam melaksanakan segala perkara yang dipertanggungjawabkan adalah sifat amanah.

Amanah adalah antara satu sifat terpuji (mahmudah), malah ia juga adalah antara satu daripada empat sifat yang wajib bagi Rasul. Oleh sebab amanahnya Rasulullah SAW dalam melaksanakan segala perkara yang dipertanggungjawabkan kepadanya, Baginda SAW diberi gelaran  al-Amin  oleh orang Arab Quraisy Makkah.

Amanah berasal daripada perkataan Arab 'amanah' yang di Melayukan. Dari segi bahasa ia bererti tenteram, aman, terselamat dan harmonis, manakala dari segi nilai dan akhlak pula, amanah bermaksud menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan dalam kepercayaan itu.

Dalam erti kata lain amanah ialah tanggungjawab diterima seseorang, yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu dilaksanakan dengan sempurna, ia merasa tenteram, aman, terselamat dan harmonis.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada (orang) yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Nisa', ayat 58)

Dalam pengertian umumnya, amanah boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Suatu istilah lain yang memberi erti bertentangan dengannya ialah 'khianat'.

Rasulullah SAW menjelaskan tentang sifat orang munafik yang bermaksud, "Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya." (Riwayat al-Bukhari). Dalam bahasa Melayu 'khianat' ini sering juga disebut 'pecah amanah'.

Sesungguhnya seseorang yang mempunyai sifat amanah, tidak akan timbul di hatinya untuk melakukan sebarang pengkhianatan atau penipuan terhadap perkara yang diamanahkan kepadanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Di antara Ahli Kitab ada orang yang jika kamu mengamanahkan kepadanya harta yang banyak, dikembalikan kepadamu; dan ada di antara mereka orang yang jika kamu mengamanahkan kepadanya satu dinar, tidak dikembalikannya kepadamu, kecuali jika kamu selalu menuntutnya." (Surah Ali 'Imran, ayat 75)

Konsep amanah ialah tanggungjawab yang boleh dipersoalkan. Ia boleh difahami daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seseorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala, seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin." (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW ini, konsep amanah itu amat luas. Ia bukan saja berkait dengan sesuatu yang diamanahkan oleh orang lain kepada kita, malah kita juga perlu beramanah terhadap diri sendiri, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan terhadap Allah SWT yang menciptakan sekalian alam.

Amanah terhadap diri sendiri seperti kewajipan menjaga kesihatan tubuh badan, menyediakan keperluan diri seperti pakaian, makanan, minuman dan sebagainya. Termasuk juga berusaha untuk memperbaiki masa depan dengan mengambil berat tentang pelajaran dan sebagainya.

Amanah seorang ayah diperintahkan memelihara dan memberi didikan kepada anak isteri dan membimbing mereka ke jalan yang diredai Allah SWT. Semua manusia dikehendaki beramanah.

Dalam Islam amanah adalah perkara pertama yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada alam semesta seperti langit, bumi, gunung-ganang dan bukit bukau untuk memikul bebanan yang sangat penting iaitu bekerja mengabdikan diri mengikut peraturan tertentu. Bagaimanapun, semua makhluk itu telah menolak tawaran Allah SWT itu kerana tidak sanggup memikul amanah yang sangat berat. Amanah itu disanggupi oleh umat manusia.

Kesanggupan manusia memikul amanah ini (khilafah Allah fi al-Ard) telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menawarkan tanggungjawab memikul amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya; dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka membuat perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa setiap manusia mestilah menyedari bahawa setiap langkah dan setiap saat perjalanan kehidupannya dalam dunia ini adalah dalam lingkungan amanah yang telah disanggupi. Umat manusia tidak boleh melepaskan diri daripada menunaikan amanah yang dibebankan kepadanya oleh kehendak kehidupan terutamanya dalam menjalankan urusan pentadbiran menguruskan masyarakat yang semestinya dipelihara dan dikawal tanpa dicemari oleh unsur yang merosakkan.

Manusia perlu amanah kepada diri, keluarga, kerjaya dan negaranya di samping menunaikan amanah yang diserahkan oleh agama.

Oleh itu, jelaslah bahawa amanah adalah perkara yang sangat penting dalam menentukan masa depan atau hala tuju sesebuah masyarakat.

Dalam pembinaan masyarakat, amanah adalah antara nilai dan etika terpenting. Cirinya jelas tergambar dalam segala tindakan seperti menggunakan masa dengan sebaiknya; membelanjakan harta awam mengikut peraturan ditentukan selain tidak melakukan rasuah dan pembaziran; serta menyiapkan kerja yang diamanahkan mengikut tempoh ditetapkan.

Dalam kata lain, masyarakat akan menjadi kucar-kacir, porak-peranda dan melahirkan rasa tidak puas hati disebabkan perbuatan tidak bermanah itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila amanah itu telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Lalu sahabat bertanya: Bagaimana mensia-siakannya? Rasulullah SAW menjawab: Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang yang bukan ahli, maka tunggulah saat kehancurannya." (Riwayat al-Bukhari)

Jelaslah bahawa amanah diletakkan sebagai satu nilai terpenting dalam masyarakat kerana sifat masyarakat itu yang bergantungan atau memerlukan antara satu sama lain. Begitulah pentingnya amanah dalam membina masyarakat.

Oleh itu, setiap individu dalam masyarakat hendaklah melaksanakan amanah dan tanggungjawab sepatutnya hingga wujud saling memerlukan, berfungsi, memenuhi, membantu dan sama-sama dapat membentuk masyarakat aman, tenteram dan harmonis.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:01 AM