ISLAM amat menganjurkan umatnya menghiasi diri dengan sifat amanah dan melaksanakan kerja dengan penuh amanah.
ISLAM amat menganjurkan umatnya menghiasi diri dengan sifat amanah dan melaksanakan kerja dengan penuh amanah.
Dr Saiful Izwan Zainal

SESUNGGUHNYA Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan."  (Surah Al-Ahzab, ayat 72)

Amanah adalah sesuatu yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang atau pihak tertentu. Dalam aspek pekerjaan, sememangnya amanah dan tanggungjawab memainkan peranan yang cukup besar dalam memangkin kualiti kerja seseorang.

Mutakhir ini, Perdana Menteri mengumumkan darurat di seluruh negara dan ramai dalam kalangan kita yang disarankan bekerja dari rumah sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19. Reaksi awal yang diterima daripada pelbagai pihak sememangnya berbeza-beza, ada yang bergembira dan tidak kurang juga yang berduka dengan situasi berkenaan. Walau bagaimanapun, semua pihak perlu reda dan berbaik sangka dengan segala ketentuan daripada Allah SWT dan terus ikhlaskan diri dalam menggalas amanah yang diberikan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: "Dan boleh jadi kamu tidak menyukai kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah. Sifat ini mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam. Apabila membicarakan tentang bekerja dari rumah, sudah semestinya persoalan yang sering timbul adalah kualiti kerja yang dihasilkan, sama ada sama seperti lazimnya atau mungkin berlainan. Pokok pangkal daripada permasalahan ini adalah sikap amanah dan tanggungjawab dalam diri ketika menjalankan tugasan yang diberikan, tidak kira di mana kita bekerja. Dengan rasa tanggungjawab ini jugalah kita akan berasa tenang menunaikan amanah, walaupun tidak berada di bawah seliaan fizikal sesiapa. Sesungguhnya Allah Yang Maha Melihat (al-Basar), seperti mana yang disebutkan di dalam surah Al Hujuraat, ayat 18: "Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."

Sesungguhnya, tugasan yang kita galas itu adalah amanah yang perlu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. 

Daripada Abdullah Bin Umar RA, bahawasanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Maka imam adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang rakyatnya. Dan lelaki (suami) di dalam keluarga adalah pemimpin dan akan ditanya tentang orang yang berada di bawah pimpinannya. Dan wanita (isteri) di rumah suaminya adalah pemimpin dan akan ditanya tentang apa yang dijaganya. Dan hamba yang menjaga harta tuannya adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang apa yang dijaganya." (Hadis  Riwayat al-Bukhari, no hadis 2409) 

Daripada hadis  di atas, Rasulullah SAW  menggariskan kepentingan melaksanakan amanah yang kita galas dengan sebaik-baiknya dan seikhlas mungkin kerana semuanya akan berbalik kepada kita di akhirat kelak dan kita akan menerima balasan setimpal dengan apa yang kita kerjakan.  Tidak kiralah sama ada kita bertaraf pemimpin, atau pekerja biasa, setiap sesuatu yang kita kerjakan akan ditanya di akhirat dan tiada satupun yang akan terlepas daripada pengetahuan Allah SWT seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Pada waktu itu Kami tutup mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (tentang kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan." (Surah Yasin, ayat 65)

Kesedaran mengenai kepentingan berlaku benar dan adil dalam melaksanakan pekerjaan kita adalah tunjang kepada sikap kebertanggungjawaban. Kita perlu berusaha untuk terus menuju ke arah perkara dan amalan yang benar kerana menegakkan yang benar itu wajib. Kesedaran dan istiqamah mengamalkan perkara yang benar inilah yang kemudiannya akan mengubah corak amalan kerja kita ke arah yang lebih baik dan barakah. Daripada Abdullah, telah berkata: "Sabda Rasulullah SAW: 'Kalian wajib berlaku benar maka sesungguhnya benar itu membawa kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu membawa kepada syurga. Dan seseorang yang sentiasa bersifat benar dan mencari kebenaran akan tercatat di sisi Allah SWT  bahawa dia seorang yang benar. Dan berhati-hatilah dengan pendustaan, maka sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke neraka. Dan seseorang yang sentiasa berdusta dan mencari perkara dusta akan tercatat di sisi Allah SWT  bahawa dia seorang pendusta."' (Hadis  Riwayat Muslim, no. 6639) 

Kerukunan bekerja perlu dipelihara dan menyempurnakan amanah amat disanjung tinggi malah diwajibkan oleh Islam. Namun harus diingat bahawa ungkapan amanah bukan sekadar bersikap benar dalam apa jua urusan kehidupan manusia, malah ia turut mencakupi setiap tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. 

Islam menyeru umatnya untuk terus berpegang kepada amanah dan menegakkan kebenaran dalam melaksanakan pekerjaan dan tugasan harian. Sikap kerja sebegini bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti kerja, malah akan dapat memberikan ketenangan kepada kita. Apabila timbul perasaan tanggungjawab dalam diri ketika menjalankan kerja dari rumah, disulam pula dengan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi, semestinya ketenangan itu akan datang seiringan. Ketenangan ini akan timbul bukan hanya kerana kualiti kerja kita akan meningkat, tetapi juga kerana kita menyedari bahawa kita telah melaksanakan amanah yang diberikan dengan seberapa daya dan sebaik mungkin. Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu." (Hadis  Riwayat Muslim, No. 2564)

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:30 AM