IKHLASKAN hati dan diri supaya segala pekerjaan menjadi ibadah dan mendapat keredaan Allah SWT. FOTO Arkib NSTP
IKHLASKAN hati dan diri supaya segala pekerjaan menjadi ibadah dan mendapat keredaan Allah SWT. FOTO Arkib NSTP
Dr Azri Bhari

Heboh dilaporkan berkaitan sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) disiasat selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9,629,682.

Menurut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menyatakan bahawa kes terbabit antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat dalam tempoh 2023 iaitu dua kes direkodkan di Selangor diikuti satu kes di Terengganu dan satu kes di Perak.

Kejadian kes terbabit amat mendukacitakan apabila wang zakat turut diseleweng oleh individu yang tidak bertanggungjawab, apatah lagi zakat adalah satu daripada lima rukun Islam yang menjadi pegangan setiap Muslim.

Oleh itu, kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan nilai-nilai integriti dan tata kelola yang baik berpaksikan keyakinan, nilai, akhlak serta tadbir urus adil sangat perlu ditekankan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Integriti bermaksud satu kualiti unggul yang perlu ada dalam diri seseorang manusia dan sentiasa dihayati serta diamalkan dalam kehidupan seharian yang berkait rapat dengan lapan nilai murni iaitu jujur, benar, amanah, adil, bertanggungjawab, telus, cekap dan bijaksana seperti yang digariskan dalam pelan tindakan komprehensif Pelan Integriti Nasional (PIN) yang pernah dilancarkan kerajaan pada 23 April 2004.

Ada beberapa perkara penting berkaitan integriti yang perlu diambil perhatian untuk diterapkan dalam kehidupan seperti yang digariskan oleh ajaran Islam untuk keselamatan di dunia dan akhirat.

Pertama  integriti, jujur dan kepatuhan adalah prinsip-prinsip syariat Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT. Islam menggariskan panduan hukum-hakam untuk diikuti setiap manusia berasaskan syariat yang diturunkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian Kami jadikan kamu menjalankan Syariat dari hukum agama; maka turutlah ia dan janganlah diturut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui." (Surah al-Jaathiyah: 18)

Namun, pembudayaan integriti bukan satu perkara yang mudah kerana manusia secara fitrahnya adalah makhluk sosial yang suka bermasyarakat dan sentiasa memiliki naluri kebendaan atau materialistik.

Kedua  amanah adalah suatu perkara yang sangat berat dan perlu dipelihara sebaiknya. Sekiranya seseorang khianat, maka akan diazab dan diseksa dalam neraka. Ketiadaan integriti menyebabkan kedudukan seseorang terjejas di sisi Allah SWT, malah akan mendapat kerugian di dunia dan akhirat.

Contohnya adalah seperti kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW sejurus tamat peperangan Khaibar, beberapa orang sahabat Nabi SAW telah berkata kepada sahabat yang sudah gugur syahid 'fulan ini telah syahid.'

Namun, Nabi SAW kemudian bersabda yang bermaksud: "Sesekali tidak, sesungguhnya aku melihatnya di dalam neraka kerana jubah yang dicurinya." (Riwayat Muslim)

Perlakuan tidak jujur dan tidak amanah mengakibatkan dan memberi kesan kepada seseorang itu tidak terlepas dari azab dan hukuman di atas perbuatan terbabit.

Pengurusan integriti sememangnya sangat penting kerana dapat menentukan jatuh bangun dan maju mundur sesebuah negara. Kehakisan nilai ini menyebabkan wujudnya jenayah kolar putih, gejala sosial, rasuah, diskriminasi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa.

Kelemahan integriti yang berpunca dari sikap mudah lupa diri akan menyumbang kepada keruntuhan nilai moral dan kecemerlangan yang dicapai.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil." (Surah al-Ahzab: 72)

Ketiga  umat Islam hendaklah berusaha menjadi insan yang mengamalkan akhlak mulia supaya dapat meningkatkan nilai diri, keluarga, masyarakat dan negara menuju ke arah yang lebih diberkati serta diredai Allah SWT.

Pembudayaan nilai integriti adalah satu sifat mahmudah yang perlu diterapkan dalam kehidupan seseorang insan seperti yang ditunjukkan Nabi SAW. Nilai integriti perlu diterapkan dalam kehidupan seharian supaya menjadi pendukung kekuatan bagi setiap individu terutama dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab: 21)

Demikian usaha berkaitan pemupukan budaya integriti dan tadbir urus baik perlu diperhebatkan lagi bagi melahirkan sebuah warga kerja yang amanah, berintegriti, bertanggungjawab produktif dan berperkerti mulia.

Ikhlaskan hati dan diri supaya segala pekerjaan menjadi ibadah dan mendapat keredaan Allah SWT. Tingkatkan iltizam untuk bekerja dengan tekun supaya memperoleh hasil yang berkualiti serta berproduktiviti tinggi yang memberi keberkatan kepada keluarga, organisasi dan negara.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi, Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 7:00 AM