ISLAM menyatakan bahawa antara sifat mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah.
ISLAM menyatakan bahawa antara sifat mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah.
Muhammad Saufi Hassan

PASCA-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), rakyat sudah pun menunaikan tanggungjawab dan suara rakyat sudah diterjemahkan dalam kertas undi, kini adalah tugas pemimpin yang dipilih untuk menunaikan tanggungjawab.

Pastinya, rakyat mahu melihat kepemimpinan yang beramanah dan Islam jelas menggariskan tuntutan kepada pemimpin amanah serta ganjarannya.

Bagi pemimpin yang dipilih, tunaikan tanggungjawab dengan sepenuhnya dan hentikan budaya politik cerca-mencerca sesama Islam kerana setiap orang Islam itu tetap bersaudara atas nama agama serta akidah.

Islam menyatakan antara sifat mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah serta Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah.

Paling menarik, sifat ini dianggap titik penentu atau garis pemisah tahap keimanan dan keagamaan seseorang insan.

Rasulullah SAW menegaskan: "Tiada iman bagi orang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang tidak dapat dipegang janjinya." (Hadis Riwayat Ahmad dan Dailami)

Memetik tulisan daripada Dekan Pusat Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi menyatakan bahawa orang yang pecah amanah tidak boleh dipercayai memikul amanah serta melakukan pengkhianatan ketika berkhidmat kepada masyarakat, bermakna ia bukan benar-benar beriman kepada Allah SWT.

Islam menuntut umatnya sentiasa beramanah seperti firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat." (Surah an-Nisa, ayat 58)

Rasulullah SAW tidak ketinggalan memberikan nasihat supaya bersifat amanah dalam kehidupan dan bersabda: "Sesungguhnya sifat amanah bertunjang dalam hati sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan, maka hatinya yang bertunjangkan amanah itu akan mempelajari al-Quran dan sunah." (Hadis Riwayat Muslim)

Jika ditelusuri kembali sirah Rasulullah SAW, baginda jelas mempamerkan sifat integriti atau amanah pada tahap paling tinggi sehingga digelar 'Al-Amin' dalam kalangan masyarakat.

Untuk itu, tatkala baginda diangkat menjadi pemimpin, masyarakat sekeliling ketika itu sudah mengenali keperibadian mulia Rasulullah SAW dan ia mesti dicontohi serta diikuti oleh umat Islam hari ini.

Amanah, jujur, menunaikan tanggungjawab dan janji perlu ada pada diri setiap Muslim kerana ia adalah tanda keperibadian mulia yang digariskan oleh Islam.

Perlu ditegaskan, amanah mengungkapkan maksud atau pengertian amat luas dan mendalam. Ia bukan sekadar bersikap jujur dan benar dalam apa-apa jua urusan kehidupan manusia, malah turut mencakupi setiap tanggungjawab atau tugas yang wajib dilaksanakan.

Ia juga membabitkan segenap lapisan manusia sama ada pemimpin, rakyat, ibu bapa, anak dan individu.

Nabi SAW bersabda: "Setiap orang daripada kamu ialah pemimpin bertanggungjawab terhadap orang bawahan dipimpinnya. Seorang lelaki ialah pelindung ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang wanita di rumah suaminya ialah pelindung dan penjaga bertanggungjawab terhadap jagaannya. Begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Amanah membawa pengertian yang boleh dilihat daripada pelbagai sudut. Sebagai contoh, Islam ialah amanah yang dahulunya diperjuang dan ditegakkan nabi serta rasul silih berganti yang akhirnya disempurnakan Rasulullah SAW kepada sekalian warga alam ini.

Kemudian, amanah Islam diwarisi setiap insan beriman secara umum dan setiap ulama secara khususnya dalam perjuangan menegakkan panji Islam di muka bumi Allah SWT.

Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umat Islam mengenai kepupusan sifat amanah dalam masyarakat Islam masa akan datang, sekali gus menjadi tanda kecil kiamat.

Rasulullah SAW pernah ditanya: "Bilakah akan berlaku hari kiamat? Baginda menjawab: Apabila sifat amanah hilang, maka tunggulah hari kiamat."

Peringatan daripada Rasulullah SAW itu perlu dijadikan pedoman oleh kita semua dan seharusnya sifat integriti itu mesti diutamakan pada setiap ketika, masa, keadaan dan setiap masa. Wallahualam

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 5:59 AM