Dr Khairunneezam Mohd Noor

Perkataan amanah asalnya daripada bahasa Arab. Dari segi lughah atau bahasa dapat ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan atau lurus. Namun, daripada konteks lebih mendalam, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan oleh seorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga sesuatu perkara sama ada bersifat nyata atau tidak nyata.

Sepanjang Ramadan, kita sebagai hamba Allah SWT banyak diuji dengan nilai amanah. Ia mencakupi amanah menahan lapar, dahaga dan perbuatan yang boleh membatalkan puasa daripada terbit hingga terbenam matahari, hinggalah kepada amanah menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah. Semua amanah ini satu bentuk pengajaran yang dikurniakan Allah kepada kita untuk menguji keimanan dan kemuliaan diri. Namun, sejauh mana kita dapat mengambil ibrah atau pengajaran daripada sifat amanah itu?

Sifat amanah dikatakan suatu beban yang tidak terpikul dan sudah ditolak oleh makhluk Allah SWT yang lain, namun disanggupi oleh manusia untuk memikulnya. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-Ahzaab, ayat 72)

Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang beriman memiliki sifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur. Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan dituntut kepada-Nya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.

Konteks amanah kedua ialah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling. Sifat amanah ini antara empat sifat wajib yang ada pada Rasul selain Siddiq (Benar), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW model nilai murni yang sempurna dan unggul yang harus diterapkan dan diteladani dalam kehidupan.

Misalnya dalam urusan pekerjaan, Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda). Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan saja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan berhasil memberikan keuntungan berlipat kali ganda kepada perniagaan Saidatina Khadijah.

Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW terserlah sebagai satu daripada nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlu memenuhi dan mencapai matlamat ditetapkan oleh organisasi atau majikannya.

Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea antara elemen yang disumbangkan oleh seseorang pekerja kepada organisasi. Begitupun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah.

Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfal, ayat 27)

Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sesibuk mana sekalipun kita bekerja, hak kita terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika ia membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan kita. Islam memberikan rukhsoh atau keringanan dalam hal-hal tertentu pada waktu tertentu bagi umatnya yang giat melaksanakan pekerjaan bagi memajukan diri.

Misalnya, jika seseorang melaksanakan tugas jauh di tempat lain melangkaui jarak dua marhalah, dia dibolehkan menjamak dan/atau mengqasarkan solat fardunya. Ini adalah suatu keringanan istimewa diberikan kepada umat Islam agar dapat terus tawaduk melaksanakan amanah untuk beribadah dan melunaskan tanggungjawab pekerjaannya. Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah SWT, jika diberikan keringanan sebanyak manapun, pasti akan sekadar ‘mengambil ringan’ hal beribadah terutama yang fardu kerana kononnya terlalu fokus terhadap kerjanya.

Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia iaitu jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram).”

Manakala pekerja yang tidak berhati-hati dalam menjaga amanah adalah tergolong dalam golongan orang yang munafik. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tiga tanda munafik iaitu apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati.” (Muttafaqun’Alaih)

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah Dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 10:04 AM