SETIAP menantu dan mentua perlu berusaha untuk menjaga hubungan mereka kerana ia satu tuntutan syarak.
SETIAP menantu dan mentua perlu berusaha untuk menjaga hubungan mereka kerana ia satu tuntutan syarak.
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap insan mengimpikan sebuah rumah tangga yang bahagia. Kebahagian tersebut bukan sahaja melibatkan kehidupan di dunia, tetapi juga untuk kehidupan yang lebih utama di akhirat nanti. Allah SWT berfirman dalam al-Quran perihal kehidupan rumah tangga yang maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir." (Surah ar-Rum, ayat 21)

Sesungguhnya ikatan perkahwinan yang dikurniakan oleh syarak kepada setiap umat Islam membawa banyak manfaat terutama dalam mengharmonikan hubungan sesama manusia. Dengan ikatan perkahwinan, maka terjalin hubungan kemanusiaan yang lebih kuat dan melibatkan berkembangnya keturunan manusia. Kehidupan manusia tidak boleh disempitkan dengan kelompok tertentu sahaja, sebaliknya hubungan manusiawi perlu diluaskan kerana manusia tidak boleh hidup bersendirian.

Manusia memerlukan orang lain untuk menjadikan kehidupannya lebih bahagia serta dipermudah urusan kehidupan. Seseorang lelaki akan hidup lebih sempurna sekiranya ada wanita yang berada di sisinya sebagai seorang isteri.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Wahai para pemuda, barang siapa yang sudah sanggup menikah, maka menikahlah. Ini kerana pernikahan itu lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kehormatan. Barang siapa yang belum mampu, maka berpuasalah kerana puasa itu ubat pengekang nafsunya." (Muttafaq 'alaih)

Apabila seseorang menikahi seorang wanita pilihan hatinya, dia bukan sahaja berkongsi kehidupan bersama wanita itu sahaja. Sebenarnya dia turut menjalinkan hubungan manusiawi dengan ahli keluarganya termasuk kedua ibu bapa wanita tersebut. Inilah antara hikmah besar di sebalik pensyariatan perkahwinan dalam Islam kerana setiap suami dan isteri akan memiliki dua orang tua tambahan yang dikenali sebagai mentua.

Perkara ini jika dilihat dari sudut yang positif, memberi ruang kepada kedua-dua suami dan isteri untuk melakukan kebaikan selain daripada mentaati dan menyantuni ibu bapa kandung masing-masing. Dengan kata lain, setiap menantu tidak kira lelaki atau perempuan menambah tanggungjawab masing-masing untuk mentaati dan menyayangi kedua orang mentua dan inilah antara kebaikan perkahwinan.

Peluang untuk melakukan kebaikan sebagai seorang menantu kepada mentua adalah sama sepertimana peluang untuk berbakti kepada ibu bapa sendiri. Apa sahaja perbuatan baik yang dilakukan oleh seorang lelaki dan perempuan daripada kalangan orang Islam pasti akan dikurniakan kebaikan oleh Allah SWT dan ini adalah janji-Nya sepertimana termaktub dalam al-Quran.

"Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan." (Surah an-Nahl, ayat 97)

Maka dengan adanya ikatan perkahwinan, Islam telah membuka ruang tambahan yang luas untuk sesiapa sahaja daripada kalangan insan bergelar menantu untuk berbakti kepada mentua masing-masing. Asalnya tiada ikatan yang menjadi sebab kedua-dua pihak melakukan kebaikan, namun dengan sebab perkahwinan maka menantu boleh mendapat pahala kerana menyantuni mentuanya, manakala mentua juga boleh mendapat pahala kerana menyayangi menantunya.

Keakraban hubungan menantu dengan mentua dijelaskan apabila Islam menetapkan bahawa tidak boleh seseorang bekas menantu mengahwini sama ada ibu atau bapa mentuanya. Menurut Ibn Kathir, ibu kepada isteri (ibu mentua) menjadi mahram (golongan yang diharamkan berkahwin) sebaik berlangsungnya akad nikah ke atas anak perempuannya. Hukum menjadi mahram ini terpakai sama ada setelah berlakunya hubungan badan antara pasangan suami isteri ataupun belum. Selain itu, status mahram tersebut bersifat kekal atau disebut mahram mu'abbad. Ini bermakna seorang menantu tidak boleh berkahwin dengan mentua selama-lamanya.

Justeru, dapat difahami bahawa tidak ada istilah 'bekas menantu' atau 'bekas mentua' kerana mereka selama-lamanya tetap dalam status menantu dan mentua. Maka berdasarkan ketetapan ini, jelas menunjukkan Islam adalah agama yang amat mementingkan hubungan kekeluargaan sesama manusia. Meskipun sesebuah rumah tangga itu ditakdirkan tidak bertahan lama, namun hubungan kekeluargaan yang diserlahkan menerusi hukum mahram mu'abbad tersebut membuktikan ikatan perkahwinan merapatkan hubungan manusiawi dan perceraian tidak boleh dijadikan sebab terputusnya silaturahim.

Menyedari ketetapan baik yang digariskan oleh Islam ini, maka setiap menantu dan mentua perlu berusaha untuk menjaga hubungan mereka kerana ia satu tuntutan syarak. Biasanya hubungan menantu dan mentua ini dimomokkan dengan keretakan sehingga ada yang dijadikan punca berlakunya masalah dalam rumah tangga.

Islam telah membuat ketetapan yang sangat ideal bagi memastikan umat Islam sentiasa hidup dalam keadaan harmoni dan bahagia. Dalam usaha melakukan kebaikan, Islam mengingatkan umatnya agar melakukan kebaikan pada semua manusia apatah lagi mereka yang mempunyai pertalian kekeluargaan. Ikatan perkahwinan adalah salah satu punca wujudnya hubungan kekeluargaan yang asalnya tidak mempunyai pertalian darah.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran tentang kewajipan melakukan kebaikan kepada semua orang dengan mendahulukan pihak yang berkaitan dengan keluarga. "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga- banggakan diri." (Surah an-Nisa', ayat 36)

Perihal menyayangi pasangan masing-masing dalam rumah tangga adalah satu perkara yang mewajarkan menantu turut menyayangi mentua masing-masing. Jadikanlah ketetapan Islam dalam hal berkaitan menantu dan mentua sebagai peluang untuk masing-masing melakukan kebaikan. Islam adalah agama yang membuka seluas-luasnya pintu kebaikan untuk setiap Muslim berusaha meraih ganjaran pahala daripada-Nya.

Sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT bahawa orang yang baik adalah untuk orang yang baik juga, maka tiada alasan lagi bagi setiap insan bergelar menantu untuk melakukan kebaikan kepada pasangan masing-masing dengan turut menyantuni golongan mentua. Seseorang itu akan dikurniakan pahala dengan melakukan kebaikan kepada orang lain, maka sudah pasti melakukan kebaikan kepada mentua dikurniakan ganjaran yang lebih menguntungkan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "...Dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih daripada (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (daripada Allah) dan pengurniaan yang mulia." (Surah an-Nur, ayat 26)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 5:59 AM