FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Izham Hakimi Redzan

Isu suami curang di belakang isteri, meskipun memiliki keluarga bahagia, isteri cantik sedang hangat diperkatakan. Meskipun diberi peluang banyak kali, namun masih ada segelintir lelaki yang masih tidak serik untuk berlaku curang. Dari segi pandangan agama Allah SWT menjadikan tujuan daripada perkahwinan adalah untuk mendapat sakinah (ketenangan) daripada dua belah pihak yakni suami dan isteri. Allah SWT berfirman di dalam surah Ar-Rum, ayat 21: " (Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Kami menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir).

Maka jika kehidupan suami isteri tidak ada rasa cinta bagaimana pula akan lahirnya sakinah (ketenangan) yang disebutkan di dalam ayat di atas. Bagi lelaki yang dikurniakan isteri solehah perlu bersyukur kepada Allah SWT kerana itulah sebaik-baik peneman hidup dunia mahupun akhirat.

Oleh yang demikian, diwajibkan ke atas seorang suami untuk menjaga hubungan keharmonian dan sakinah yang dipertanggungjawab ke atasnya. Antara sebab berlakunya hubungan terkutuk (zina), penghkianatan pasangan dan curang dibelakang isteri adalah suami tidak menjaga penglihatan mata dan menjaga kehormatan diri daripada perkara haram kerana ia boleh membawa kepada lembah yang membinasakan. Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nur, ayat 30: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka."

Sudah menjadi kebiasaan sebahagian lelaki dan isteri yang menyertai kumpulan sembang di laman sosial dan join beberapa group untuk bersembang perihal sendiri dengan memburukkkan pasangan masing-masing. Maka melakukan perkara ini adalah haram. Nabi SAW bersabda di dalam hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari: "Janganlah seorang isteri menyifatkan seorang perempuan lain pada suaminya sepertimana suaminya melihat jelas perempuan tersebut."

Tujuan diharamkan isteri untuk menyebutkan pada suaminya sifat perempuan ajnabiah (luar) adalah kerana jika apa yang disebutkan merupakan satu perkara buruk dan suatu keaiban maka perkataan tersebut akan menjadi ghibah (mengumpat). Adapun mengumpat itu adalah perkara yang diharamkan. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Hujurat, ayat 11: "Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain)."

Manakala seorang isteri jika menyifatkan pada suaminya sifat-sifat kecantikan seseorang perempuan maka perkara tersebut ditakuti membawa kepada yang perkara yang haram ke atas suaminya. Allah SWT berfirman di dalam surat Al-Isra', ayat 32: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan."

Walaupun hadis ini jelas menyebutkan pengharaman ke atas perempuan untuk menceritakan kepada suaminya perihal seorangan perempuan yang lain, difahami juga daripada mafhum (pemahaman) hadis ini diharamkan juga ke atas seorang isteri untuk menceritakan perihal seorang lelaki yang lain (suami orang lain) kepada suaminya. Adapun suami menceritakan perihal seorang perempuan lain maka ia sudah lagi tidak boleh kerana boleh membawa cemburu isteri yang membawa kepada perpecahan rumah tangga.

Begitu juga kita boleh mengambil teladan daripada suatu hadis yang dikenali sebagai 'Hadis Umm Zar'in' yang diriwayatkan oleh Sayyidatuna Aishah RA menceritakan bahawa ada sebelas wanita (dari Yaman) berkumpul, lalu mereka membuat perjanjian dan ikatan antara satu sama lain agar masing-masing menceritakan keadaan para suami mereka. Antara sebelas wanita tersebut lima daripadanya mencela suami-suami mereka, sedangkan enam daripadanya memuji suami-suami mereka termaksuklah Umm Zar'in. Maka apabila Sayyidatuna Aishah RA menceritakan kisah ini kepada Rasullullah SAW, baginda berkata: "Aku bagimu - wahai Aishah- umpama Abi Zar'in bagi Umm Zar'in yang hanya menceritakan perihal suaminya yang baik-baik sahaja." (HR Tirmizi di dalam As-Shamāil)

Ada pula di kalangan isteri orang mempunyai hubungan dengan suami orang tanpa pengetahuan suaminya, maka hukumnya haram dan dicela. Ini sebahagian daripada makna curang dan pengkianatan ke atas suami. Di antara sifat isteri yang baik dan diredai Allah SWT adalah isteri yang tidak curang kerana isteri yang mempunyai hubungan dengan suami orang tanpa pengetahuan suaminya menunjukkkan kepada perkara yang terkeji. Hal ini kerana isteri tersebut tidak menjaga syarat yang dipersetujui ketika mana perkahwinan dengan manjaga keharmonian rumah tangga. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Nabi SAW, baginda bersabda: "Orang Muslim berpegang dengan syarat mereka (yang telah dipersetujui) kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal dan syarat yang menghalalkan perkara yang haram."

Antara sifat perempuan  (isteri) yang mulia adalah perempuan yang tidak menghampiri perkara yang terkutuk ini dengan tidak berzina  dan tidak pula menipu khususnya pada suaminya. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Al-Mumtaḥanah, ayat 12: "Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun dan mereka tidak akan mencuri dan mereka tidak akan berzina dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Sebahagian daripada golongan menganggap curang itu pilihan. Ini adalah seanih-anih perkara yang dapat didengari. Hal ini kerana curang adalah salah satu pengkhianatan. Pengkhianatan adalah perkara yang haram di dalam agama Islam sama ada hubungan di antara suami dan isteri ataupun hubungan sesama makhluk. Hubungan suami isteri terbina di atas akad (janji) perkahwinan. Perkahwinan itu adalah amanah dan tanggungjawab. Ke atas orang Islam untuk menjaga amanah yang diamanahkan ke atas mereka dengan sebaiknya. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Anfal, ayat 27: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."

Apa yang boleh dinasihatkan kepada baik suami ataupun isteri yang curang meskipun memiliki pasangan yang taat, keluarga bahagia adalah menjadikan pendekatan agama dan penghayatannya dalam kehidupan suami isteri untuk mengendalikan bahtera kehidupan  mereka yang mana syariat islam itu sendiri menitik beratkan aspek ḥusnu al-'ishrah (kebahagian keluarga). Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nisa', ayat 12: "Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik."

Sebahagian ahli tafsir mengatakan antara perkara yang dimaksudkan dengan bergaul dengan isteri dengan cara yang baik adalah bercakap baik dengan isteri dan berkelakuan baik dengan golongan isteri sehinggalah menzahirkan raut muka yang baik dan berpakaian pakaian yang baik termasuk daripada apa yang dimaksudkan dalam ayat ini. Maka setiap perkara yang disukai oleh isteri maka lakukanlah kamu untuk kebahagiaan dirinya. Perkara ini sepertimana yang disebutkan dalam sabda Nabi SAW: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku." (HR Tirmizi)

Penulis Alumni Institut Dar Hadith Hassania Universiti Al-Qarawiyyin, Maghribi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 6:01 AM