ORANG yang melakukan kebaikan, lalu perbuatan baik tersebut diikuti orang lain, maka dia bakal menerima pahala berterusan.
ORANG yang melakukan kebaikan, lalu perbuatan baik tersebut diikuti orang lain, maka dia bakal menerima pahala berterusan.
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap kebaikan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Orang Islam diperintah agar melakukan banyak kebaikan sepanjang kehidupan di dunia sebagai bekalan untuk memperoleh kebahagiaan di akhirat nanti. Apabila melakukan kebaikan, pastikan ia dilakukan ikhlas kerana Allah SWT kerana dengan keikhlasan sahaja dapat mengundang rahmat daripada-Nya.

Meskipun setiap kebaikan akan dikurniakan pahala, namun masih ada orang yang memilih untuk melakukan keburukan. Orang yang asyik melakukan keburukan tidak melihat kehidupan dunia sebagai tempat untuk mengumpul pahala dan kebaikan. Mereka mungkin lupa bahawa kehidupan di dunia ini hanya bersifat sementara sahaja.

Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami (Allah) akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (Surah ash-Shura, ayat 20)

Dalam keadaan orang yang meyakini tentang tujuan penciptaannya di dunia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT, usaha melakukan kebaikan tidak terhenti sekadar itu sahaja. Setiap orang perlu berusaha untuk menjadi orang yang melakukan kebaikan dan perbuatan tersebut menjadi ikutan orang ramai. Inilah strategi orang yang memahami keperluan mendapat pahala berganda daripada Allah.

Orang yang melakukan kebaikan, lalu perbuatan baik tersebut diikuti oleh orang lain, maka dia bakal menerima pahala yang berterusan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa menjadi pelopor sesuatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh."

Rasulullah SAW seterusnya bersabda: "Sebaliknya, sesiapa menjadi pelopor sesuatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun." (Hadis riwayat Muslim)

Hadis daripada Rasulullah SAW tersebut perlu sentiasa dijadikan pedoman dalam melakukan setiap tindakan. Kita sepatutnya berusaha melakukan kebaikan dan menggalakkan orang lain untuk melakukan perkara yang sama. Kadangkala perkara baik yang dibuat bukanlah sesuatu perbuatan yang sukar untuk diikuti.

Sebagai contoh, kita boleh mulakan dengan mempromosi kebaikan kepada ahli keluarga sendiri. Mendidik anak sendiri agar sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan terima kasih kepada orang yang melakukan kebaikan kepada dirinya. Ini adalah contoh mudah yang boleh menyebabkan kita mendapat pahala berterusan jika anak menjadikan perbuatan murni tersebut sebagai amalan dalam kehidupannya.

Perbuatan mengucapkan terima kasih kepada insan lain yang melakukan perbuatan baik membuktikan kesyukuran kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Tidak dikira bersyukur kepada Allah bagi sesiapa yang tidak berterima kasih kepada sesama manusia." (Hadis riwayat Ahmad)

Begitu juga dengan amalan memberi salam, ia perlu dijadikan perkara yang perlu dilakukan serta dipromosikan kepada orang lain. Pada waktu mendepani Covid-19 sekarang, kita tidak lagi dapat bersalam-salaman tatkala bertemu orang lain, namun jangan jadikan ia alasan untuk kita mengabaikan amalan baik yang dianjurkan oleh Islam. Sentiasalah mengingatkan ahli keluarga agar tidak sekali-kali mengabaikan amalan baik memberi dan menjawab salam kerana ia perkara baik yang dapat mengeratkan hubungan kasih sayang sesama umat Islam.

Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang kepentingan menyebarkan salam menerusi sabdanya bermaksud: "Kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman dan kalian tidak beriman sehingga kalian berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi antara satu sama lain? Sebarkanlah salam sesama kalian." (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya ada pelbagai lagi perkara baik yang sememangnya mudah untuk dilakukan dan mengajak orang lain melakukan perkara yang sama. Walau bagaimanapun, jika diperhatikan dalam media sosial hari ini kebanyakan orang masih memilih untuk menunjukkan perkara yang tidak baik. Perbuatan tersebut yang dipaparkan secara terbuka mengundang ia turut menjadi ikutan orang lain.

Tambahan pula, kini ramai orang terjebak dengan perbuatan menularkan informasi yang diperoleh daripada media sosial. Sepatutnya kita menjadi orang yang bijak dengan menularkan perkara yang baik dan menyekat perkara buruk agar tidak menjadi ikutan orang lain.

Peringatan Rasulullah SAW agar umatnya berusaha melakukan kebaikan serta menyebarkannya agar menjadi ikutan orang ramai perlu diberi perhatian sewajarnya. Galakan agar umat Islam berusaha melakukan kebaikan dan menjadi ikutan orang lain dizahirkan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya." (Hadis riwayat Muslim)

Pilihan berada di tangan kita. Sesiapa yang menyahut seruan Rasulullah SAW agar melakukan kebaikan dan memberikan contoh baik untuk diikuti oleh orang lain pasti akan mendapat ganjaran istimewa daripada Allah SWT. Tidak ada perkara yang meragukan dalam pengucapan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Semua yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW perlu disahut dengan berusaha mengamalkannya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah SWT maka ikutilah daku (Rasulullah), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali 'Imran, ayat 31)

Marilah kita lakukan muhasabah diri melihat kembali perkara yang telah dilakukan selama ini. Adakah perbuatan tersebut merupakan perkara baik atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha mempromosikan kebaikan agar ia menjadi ikutan orang lain? Usaha mengajak orang lain melakukan perbuatan baik termasuk dalam kerja dakwah yang telah dipelopori oleh Rasulullah SAW.

Sekiranya umat Islam tidak menjalankan kerja-kerja dakwah, dikhuatiri banyak ideologi yang bertentangan dengan Islam menular masuk dalam pemikiran umat Islam. Ini ditambah pula dengan medium internet tanpa sempadan yang membuka ruang sebarang bentuk perkongsian dimuatkan tanpa kawalan. Usaha mempromosikan kebaikan kepada orang lain boleh dijadikan satu gerakan dakwah agar umat Islam sentiasa berada dalam kebaikan.

Allah SWT mengingatkan hamba-Nya agar berlumba-lumba melakukan kebaikan. "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada Hari Kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Buatlah apa juga bentuk kebaikan meskipun ia mungkin kelihatan kecil pada pandangan manusia. Kita tidak tahu amalan mana yang kita lakukan diterima Allah SWT. Amalan yang mungkin nampak kecil semestinya mampu kita lakukan dan boleh jadi mudah dilakukan oleh orang lain. Maka mengapa kita tidak berusaha untuk melakukannya?

Penulis pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:00 AM