PENULIS bersama keluarga merakamkan kenangan ketika menziarahi muzium.
PENULIS bersama keluarga merakamkan kenangan ketika menziarahi muzium.
Mohd Rizal Azman Rifin

TIDAK dinafikan menuntut ilmu itu perlu berguru. Selain itu, kita juga mampu memperolehnya menerusi pembacaan bahan bacaan. Namun, ada satu lagi medium yang mungkin jarang antara kita berfikir bahawa mengunjungi muzium juga merupakan satu pendekatan dalam mencari ilmu dan maklumat.

Sebab itu, para ahli jemaah umrah/haji tidak sahaja dihadkan kepada bentuk ritual peribadatan semata-mata, sebaliknya dalam masa yang sama mereka juga dibawa untuk melawat banyak tempat yang bersejarah bagi memperhatikan sendiri kesan-kesan peninggalan lama yang ada kaitannya dengan perjalanan dakwah Islam semasa era Rasulullah SAW dan para sahabatnya dahulu.

Salah satu lokasi yang sentiasa dipenuhi ahli Jemaah umrah mahupun haji ialah Muzium Haramain yang terletak berhampiran Hudaibiyyah. Muzium ini merupakan muzium terbesar dan paling popular dalam kalangan rombongan umrah atau haji pada setiap tahun.

Muzium Haramain itu setepatnya terletak di lembah Bukit Ummu Joud, 30 minit perjalanan dari Kota Makkah. Muzium tersebut juga dikenali sebagai The Exhibition of Two Holy Mosques Archicture. Terbinanya muzium tersohor di Tanah Suci itu adalah cetusan idea Raja Fahd bin Abdul Aziz yang menjadi Pemerintah dan Penjaga Dua Tanah Suci Islam pada tahun 1420 Hijriah.

Meskipun muzium ini tidaklah besar seperti muzium terkenal dunia yang keluasannya sekitar 400 meter persegi sahaja, tetapi ia tetap memiliki daya tarikan tersendiri dengan ruang pameran dan infomasi yang berkarya seni lama. Ia mempunyai tujuh dewan pameran yang terbahagi kepada dua ruang besar iaitu untuk koleksi sejarah Makkah dan sejarah Madinah.

Alhamdulillah syukur kerana penulis sekeluarga antara tetamu Allah yang sempat melihat sendiri pelbagai koleksi bernilai sejarah di Muzium Haramain ini. Meskipun pada awalnya penulis lebih teruja untuk berziarah ke kawasan bergeografi perlembahan bukit yang pernah menjadi saksi kepada pertempuran pada zaman Rasulullah SAW, tetapi sebaik sahaja kaki mula memasuki ruang pintu utama muzium, saya menjadi terpinga-pinga mahu menuju ke ruang pameran yang mana satu. Kesemuanya menyuntik rasa ingin tahu.

Rasa ingin 'memburu' pengetahuan melalui koleksi dan gambar-gambar yang terdapat dalam muzium ini ternyata memberikan banyak ibrah kepada saya untuk merenung kembali sejarah pembangunan Kota Makkah dan Madinah.

Muzium Haramain ini mempunyai tujuh ruang dewan sebagaimana saya nyatakan awal tadi dan antara dewan pameran yang paling 'mencuri tumpuan' penulis sekeluarga ialah semasa berada di Dewan Dua Masjid Suci. Di sini terdapat koleksi barang-barang peninggalan lama yang ada hubungan dengan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Saya sempat meninjau dengan teliti akan anak tangga mimbar Masjidil Haram yang diperbuat daripada kayu jati. Seni reka dan ukirannya sungguh mengagumkan.

Selain itu, penulis juga begitu teruja tatkala memasuki ruang Dewan Kaabah yang terdapat koleksi bahan peninggalan lama berkaitan Kaabah. Misalnya pintu Kaabah yang diperbuat daripada kayu serta dihiasi lapisan luar dengan salutan emas. Menariknya lagi ialah apabila ada antara bahan pameran berkaitan Kaabah itu yang dibina semasa zaman Uthmaniyyah lagi.

Seperkara yang turut menginsafkan penulis dan mungkin para Jemaah umrah yang lain ialah semasa berada di Dewan Zam-Zam iaitu sebuah telaga Zam-Zam lama dijadikan bahan pameran. Telaga tersebut hanya menggunakan timba bertali untuk mengambil air. Lalu ketika menyaksikan telaga itu membuatkan kita rasa begitu bersyukur dengan keadaan air Zam-Zam pada hari ini yang hanya perlu membuka paip air. Air Zam-Zam disalurkan terus hingga ke dalam kawasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Dengan ertikata lain, jemaah yang hadir di tanah suci Haramain hari ini tidak sepayah dahulu kerana segalanya telah menggunakan peralatan berteknologi tinggi. Ini menambahkan lagi rasa syukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya.

Bayangkanlah bagaimana detik rasa hati tatkala menyaksikan sendiri rupa bentuk telaga Zam-Zam yang turut mengandungi baldi tembaga. Pada pandangan mata kasar kita berasakan betapa daifnya zaman dahulu untuk mengambil air Zam-Zam, namun lihatlah pameran bahan tersebut dari sudut positif yang menunjukkan keaslian cara hidup para jemaah haji dan umrah di Kota Makkah dalam mendapatkan air minuman. Apabila ini dapat kita terapkan dalam hati mana mungkin kita tidak memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa.

Berada dalam Muzium Haramain itu juga seolah-olah kita kembali merasai kehidupan zaman silam. Melihat paparan sejarah silam apatah lagi yang bersangkutan dengan perkembangan Kota Makkah dan Madinah bukan semata-mata sebagai bahan untuk santapan mata sambil mengisi ruang masa, tetapi berkunjung ke Muzium Haramain adalah untuk memungut seberapa banyak natijah dan ibrah dari detik masa silam untuk dijadikan bahan keinsafan diri akan nikmat yang Allah kurniakan masa kini.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 6:50 AM