BERPELUANG merasai sendiri. FOTO Nik Harif Hassan
BERPELUANG merasai sendiri. FOTO Nik Harif Hassan
Aniza Zainudin

PINTU Kaabah berusia lebih 900 tahun yang disaluti emas dan dipenuhi kalimah ayat suci al-Quran memuji kebesaran sang Pencipta adalah artifak Islam yang disifatkan mustahil untuk disentuh sekiranya berada di kota Makkah.

Namun, impian itu berjaya direalisasikan apabila Pameran Antarabangsa Al-Haramain: Perjalanan Ribuan Tahun membawakan artifak bersejarah itu ke Muzium Negara.

Pintu Kaabah diperbuat daripada tembaga disaduri emas tulen itu mempunyai keberatan kira-kira 700 kilogram.

Pintu itu diguna dari 515 hijrah hingga 925 hijrah sebelum Kaabah dilengkapi pintu baharu yang dihasilkan sepenuhnya daripada emas yang ‘berkhidmat’ hingga hari ini.

PINTU Kaabah yang diperbuat daripada tembaga dan emas. FOTO Nik Harif Hassan
PINTU Kaabah yang diperbuat daripada tembaga dan emas. FOTO Nik Harif Hassan

Keunikan lain mengenai pintu Kaabah juga terletak pada kunci emas yang dipegang amanahnya oleh bani Saibah sejak zaman Nabi Ibrahim.

Berjaya memegang kelambu Kaabah atau kain kiswah juga pengalaman menarik kerana pengunjung dapat menyaksikan sendiri bahawa kain sutera berkualiti tinggi itu sebenarnya dipenuhi tulisan ayat al-Quran, bukan sekadar berwarna hitam.

Lebih mengujakan, penulis juga dapat melihat dan merasai kehalusan sulaman benang emas pada kain kiswah yang sememangnya mustahil untuk disentuh kerana ia terletak di bahagian atas kain berkenaan.

KUNCI pintu Kaabah. FOTO Nik Harif Hassan
KUNCI pintu Kaabah. FOTO Nik Harif Hassan

Difahamkan, sulaman ayat suci al-Quran itu dilakukan oleh kira-kira 200 kakitangan dan berjaya disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

Pameran Antarabangsa Al-Haramain: Perjalanan Ribuan Tahun itu dianjurkan Arabi Group Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Muzium Negara.

Pameran yang mempamerkan 52 artifak Islam itu terbahagi kepada dua iaitu Makkah dan Madinah, sekali gus membawakan pengertian mendalam mengenai dua kota penting dalam sejarah Islam kepada masyarakat.

Antara artifak menarik lain ialah manuskrip yang dihasilkan pada abad ketujuh hingga kesembilan, pedang, kunci, syiling, wang emas, hasil kerja logam, tembikar dan kayu.

BERI pendedahan kepada masyarakat. FOTO Nik Harif Hassan
BERI pendedahan kepada masyarakat. FOTO Nik Harif Hassan

Pengunjung, Hamisah Jaafar mengakui tertarik dengan pameran luar biasa mengenai Makkah dan Madinah yang dianjur itu.

“Saya dua kali menunaikan umrah dan berdasarkan pengalaman sendiri, agak mustahil untuk mendekati Kaabah apatah menyentuhnya kerana terlalu ramai jemaah di sana.

“Alhamdulillah, pada pameran itu, saya dapat lihat dengan lebih dekat malah menyentuh kain kiswah, tulisan al-Quran sulaman benang emas, pintu Kaabah serta kain penutup makam Rasulullah SAW.

“Ia pengalaman sangat menarik. Saya juga mendapat ilmu baharu dan dapat dikongsikan bersama teman lain yang mungkin tidak berkesempatan untuk berkunjung ke sini,” katanya yang ditemui bersama rakan lain.

BATU marmar yang berbentuk seperti bunga dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Alharamain 2019. FOTO Nik Harif Hassan
BATU marmar yang berbentuk seperti bunga dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Alharamain 2019. FOTO Nik Harif Hassan

Pameran yang berlangsung pada 1 hingga 31 Julai lalu itu menarik kunjungan pelancong tempatan dan asing.

Wakil penganjur, Hazwani Abd Hadi berkata, itu adalah pameran julung kali di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Pameran itu membawakan banyak barangan istimewa dan eksklusif dari kota Makkah dan Madinah.

“Kami berhasrat memperkenalkan Makkah dan Madinah kepada pengunjung, termasuk apa yang ada di dalamnya, di luar serta persekitarannya.

“Itu adalah peluang terbaik buat rakyat Malaysia mengalami, merasai dan lihat sendiri artifak yang ada di Makkah dan Madinah yang mungkin belum pernah dijejaki ataupun sukar untuk melakukannya walaupun berada di kota berkenaan,” katanya.

KARPET Raudah turut juga dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Alharamain 2019 anjuran Muzium Negara. FOTO Nik Harif Hassan
KARPET Raudah turut juga dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Alharamain 2019 anjuran Muzium Negara. FOTO Nik Harif Hassan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:01 AM