GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kadar kenaikan mendadak harga hotel di Kota Makkah dan Madinah menyebabkan kenaikan harga pakej umrah yang ditetapkan oleh segelintir agensi pelancongan terpaksa dinaikkan pada saat akhir sebelum jemaah ke tanah suci.

Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Mohd Azri Abd Razak berkata, kenaikan harga itu dipercayai berpunca daripada permintaan yang tinggi di hotel terutamanya di Kota Madinah.

Menurutnya, ia berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah di seluruh dunia apabila kerajaan di negara masing-masing membuka sempadan selepas pandemik Covid-19 beransur pulih.

"Bukan harga hotel sajameningkat, malah harga pengangkutan dan tiket penerbangan juga semakin membebankan khususnya ketika musim kemuncak.

"Hal ini dikhuatiri menimbulkan kemarahan jemaah umrah yang mendesak untuk menurunkan kadar pakej umrah bagi mengekalkan harga yang ditawarkan oleh agensi pelancongan masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak agensi pelancongan juga menghadapi kesukaran mendapatkan pengesahan tempahan walaupun sudah menjelaskan bayaran penuh kepada pihak hotel.

Katanya, kenaikan harga mendadak oleh pihak hotel juga membuatkan agensi pelancongan tersepit dan tiada pilihan selain menaikkan harga pakej terhadap jemaah umrah.

"Dengan keadaan dan kecelaruan yang berlaku sekarang, pihak MATTA meminta agar

semua jemaah umrah untuk bersabar dan memahami situasi ketidaktentuan yang berlaku

di Madinah dan Makkah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak MATTA juga mendapat aduan berkenaan kesulitan membawa pulang air zam-zam oleh jemaah umrah, terutamanya di lapangan terbang Jeddah.

Katanya, susulan itu, pihaknya sudah membawa isu berkenaan kepada Saudi Tourism Authority (STA) untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kebenaran membawa pulang air zam-zam menggunakan visa pelancong.

"MATTA berharap dapat mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk berbincang serta menangani isu yang serius sebegini agar pihak jemaah tidak menyalahkan agensi pelancongan sepenuhnya terhadap keadaan yang berlaku di Madinah dan Makkah dari sudut aspek kenaikan harga hotel, pengangkutan dan tiket penerbangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 2:13 PM