JEMAAH merakam gambar kenangan di Muzium al-Moudi.
JEMAAH merakam gambar kenangan di Muzium al-Moudi.
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

MUZIUM al-Moudi di Makkah tidaklah segagah nama Muzium al-Haramain yang sering dikunjungi jemaah haji atau umrah namun, muzium ini tetap menjadi pilihan untuk berziarah kerana kandungan bahan pamerannya unik yang menyentuh kisah dan senario peradaban masyarakat Arab silam.

Penulis berkesempatan bersama jemaah umrah pimpinan Ustaz Mohd Safri Ibrahim untuk merasai kelainan yang terdapat di muzium itu. Menariknya ia bermula dengan usaha penuh minat Abu Bakar al-Moudi pada 1435 Hijrah dahulu.

Beliau mengumpul dan membuat susunan koleksi tinggalan sejarah masyarakat Arab sehingga menjadi bahan bersesuaian untuk dipamerkan kepada masyarakat umum khususnya untuk penelitian jemaah haji dan umrah.

Muzium berkeluasan sekitar 2,000 meter persegi dengan reka bentuknya menyerupai bentuk tembok pertahanan masyarakat Arab masa dahulu.

Muzium al-Moudi terletak di kawasan El-Shimeisi yang jaraknya dari Masjidil Haram hanya 15 minit berkenderaan dalam perjalanan dari Makkah ke Jeddah.

Ia dikira sebagai satu lagi produk pelancongan istimewa bagi jemaah haji dan umrah kerana sebelum ini kebanyakan jemaah gemar memilih menziarahi kawasan seperti Bukit Uhud, Bukit Magnet dan Jabal Rahmah.

Jadi, jemaah seharusnya cuba melawat Muzium al-Moudi dan merasakan sendiri kelainan yang dimilikinya. Sepanjang lawatan ziarah penulis amat terkejut dan kagum dengan gaya susun atur bahagian ruang pameran yang disediakan.

Jelas sekali, pemilik asalnya, iaitu Abu Bakar al-Moudi seorang yang berpengetahuan luas aspek permuziuman, malah beliau boleh dianggap antara warga Arab yang menaruh minat mendalam mengenai tinggalan sejarah lama masyarakatnya.

Dalam ruang pameran muzium itu berisi pelbagai khazanah tinggalan sejarah masyarakat Arab, misalnya kelengkapan hidup seharian seperti alat memasak, peralatan makan minum, kerusi lama, set perhiasan dan busana Arab silam.

Hal ini menjadikan bahan koleksi Muzium al-Moudi berlainan konsepnya dengan Muzium Haramain yang lebih tertumpu kepada bahan sejarah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Lebih menarik lagi ialah terdapatnya bahan peralatan perang yang sering digunakan masyarakat Arab dahulu seperti pedang tentera Arab dan baju perisai perang.

Situasi itu nyata berjaya menyuntik suatu rasa yang tersendiri kepada kami untuk mengikuti lebih terperinci setiap bahan yang dipamerkan.

Menakjubkan juga kerana muzium ini turut mempamerkan telaga lama yang digunakan masyarakat Arab di kawasan perkampungan mereka.

Meskipun setiap pengunjung dikenakan bayaran, tetapi ia sangat berbaloi kerana kita akan dapat menikmati bahan pameran yang berseni tinggi lagi penuh bersejarah.

Kita seakan-akan sedang berada pada zaman dahulu di Tanah Arab kerana bahan pameran tertentu seperti busana Arab silam boleh dicuba pakai.

Ini satu lagi kelainan yang dikira cukup unik dan menarik kerana ia berbeza sama sekali dengan konsep muzium yang lain. Selain bahan berbentuk tinggalan lama, muzium ini juga menampilkan bahan koleksi foto lama dan baru kawasan Masjidil Haram dan Kaabah.

Penulis sendiri terpegun tatkala melihat foto yang menunjukkan jemaah haji dan umrah melakukan tawaf di Kaabah.

Dapat digambarkan bagaimana rupa dan keadaan dalam dan persekitaran Masjidil Haram dan Kaabah pada masa dahulu. Jelas sekali jauh berbeza dengan waktu kini.

Seperkara yang mengagumkan penulis ialah sebuah foto Hajarul Aswad dalam bentuk 3D yang mana apabila kita cium dan kucup foto itu, ia seakan-akan seperti kita melakukan dalam keadaan sebenar.

Jelas sekali, elemen sains dan teknologi turut diguna pakai demi menjadikan muzium itu lebih menarik perhatian pengunjung.

Semua jemaah berasa seolah-olah berada di taman tema apabila banyak bahan dipamerkan itu dibenarkan untuk pengunjung untuk 'cuba pakai dan cuba gayakan.'

Bijak sungguh idea fikiran di luar kotak yang ada di Muzium al-Moudi ini yang membezakan ia dengan muzium yang lain.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 7:01 AM