FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohd Shahrizal Nasir

ISLAM amat prihatin terhadap golongan yang memiliki kekurangan mahupun ditimpa ujian kehidupan. Islam menyarankan setiap umatnya berbuat baik kepada fakir miskin, orang tua, orang kelainan upaya dan anak yatim. Anak yatim merujuk kepada kanak-kanak yang belum mencapai usia baligh dan kehilangan ayah kerana meninggal dunia.

Keprihatinan Islam terhadap anak yatim untuk memastikan mereka mendapat pembelaan hidup. Mereka berhak menikmati kehidupan seperti orang lain lebih-lebih lagi usia mereka masih kecil.

Kehidupan mereka perlu diberi bantuan dan sokongan. Mereka golongan yang memerlukan perhatian serta kasih sayang meskipun bapa mereka meninggalkan dunia.

Dalam keadaan mereka kehilangan bapa tempat bergantung, mereka tidak boleh dikasari. Hal ini dapat difahami berdasarkan perintah agar anak yatim tidak boleh dikasari sama ada dalam bentuk perkataan apatah lagi perbuatan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.” Surah ad-Dhuha, ayat 9

Setiap umat Islam diperintah berbuat baik terhadap anak yatim. Mereka perlu sentiasa diingati agar kebajikan mereka tidak terabai. Pengabaian terhadap golongan yatim menyebabkan mereka berasa hilang arah dan mudah terjebak dengan gejala tidak baik. Maklumlah mereka tiada bapa untuk sentiasa memerhatikan keadaan hidup seharian.

Oleh itu, Allah SWT mengingatkan keperluan agar melakukan kebaikan terhadap anak yatim menerusi firman-Nya: “Mengenai (urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak yatim. Katakanlah: Memperbaiki keadaan anak yatim itu amat baiknya dan jika kamu bergaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu saudara kamu (yang seagama)…” Surah al-Baqarah, ayat 220

Kebajikan anak yatim dapat diurus dengan baik sekiranya harta ditinggalkan untuk mereka dijaga dengan betul.

Memandangkan usia anak yatim belum baligh, tanggungjawab menjaga harta peninggalan untuk mereka diserahkan kepada pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, Allah SWT mengingatkan dengan tegas agar harta anak yatim wajib diurus dengan sebaiknya. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” Surah an-Nisa’, ayat 10

Sesungguhnya nasib anak yatim dibela oleh Islam sebaiknya. Harta anak yatim perlu diuruskan dengan betul kerana ia satu-satunya peninggalan yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. Mengambil harta anak yatim tanpa hak adalah perbuatan zalim. Hal ini termasuk juga usaha memanipulasi harta terbabit untuk mendapat faedah daripadanya.

Pada masa sama, golongan yang menunaikan tanggungjawab mengurus kebajikan anak yatim dengan baik diberi kedudukan istimewa dalam Islam. Mereka akan bersama Rasulullah SAW di dalam syurga sebagai ganjaran besar daripada perbuatan baik mereka menyantuni anak yatim.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku (Rasulullah) dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini.” Kemudian Baginda SAW mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah Baginda SAW serta merenggangkan sedikit kedua-duanya. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Isyarat jari yang ditunjukkan baginda SAW memberi petunjuk jelas dekatnya kedudukan Baginda dengan orang yang mengurus dan menyantuni anak yatim dengan baik.

Marilah kita mengambil peluang untuk menyantuni golongan anak yatim. Mereka berhak mendapat kasih sayang sama seperti anak lain. Kasih sayang kita terhadap anak yatim membuahkan nikmat kasih sayang Rasulullah SAW kepada kita di akhirat kelak.

>>Penulis adalah pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 4:29 PM