GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Shahrizal Nasir

Islam adalah agama yang tuntutan amalan terhadap umatnya sangat mudah dan praktikal. Kemudahan diberikan oleh Islam kepada umatnya membuktikan Allah SWT tidak memerlukan ibadah hamba-Nya, sebaliknya hamba-Nya yang memerlukan rahmat dan kasih sayang daripada-Nya. Justeru, pelaksanaan ibadah adalah salah satu peluang untuk setiap Muslim meraih rahmat daripada-Nya.

Rasulullah SAW menyatakan dengan jelas tentang Islam dan ajarannya yang mudah untuk dilaksanakan oleh setiap orang. Tidak ada satu pun ibadat dalam Islam yang menyeksa diri sesiapa juga yang melaksanakannya. Malah Rasulullah SAW memberi peringatan keras terhadap mana-mana pihak yang berusaha menyusahkan pelaksanaan ibadah yang disyariatkan Islam.

"Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agamanya kecuali akan dikalahkan (tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna). Oleh itu, berlaku luruslah, sederhana (tidak melampaui batas) dan bergembiralah (kerana memperoleh pahala) serta memohon pertolongan (kepada Allah) dengan ibadah pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam." Hadis Riwayat al-Bukhari

Lihatlah ibadah paling utama dalam Islam iaitu solat fardu lima waktu. Meskipun perintah asal yang diberikan oleh Allah SWT adalah sebanyak 50 waktu sehari semalam, namun dengan kasih sayang-Nya jua solat fardu ditetapkan hanya lima waktu dengan rakaat yang paling banyak hanya empat.

Bagi orang yang dalam musafir, kesakitan atau berdepan sebarang kesukaran tatkala ingin solat, Islam menyediakan ruang rukhsah atau keringanan bagi golongan berkenaan dengan adanya pensyariatan qasar dan jamak. Tidak ada lagi alasan untuk mereka yang sengaja menolak kewajipan ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dalam bab solat. Solatlah di mana sahaja asalkan tempat itu bersih dan sememangnya bumi Allah SWT bersih.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Aku (Rasulullah) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapa pun sebelum aku... (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, hendaklah dia mendirikan solat." Hadis Riwayat al-Bukhari

Solat sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada waktu malam bilangannya bukanlah ratusan rakaat. Baginda memahami kemampuan umatnya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT.

"Adapun Nabi SAW solat pada waktu malam 13 rakaat termasuk witir dan baginda juga solat sunat dua rakaat fajar." Hadis Riwayat Muslim

Allah SWT menjelaskan perihal ibadat pada waktu malam melibatkan sebahagian daripadanya, bukan sepanjang malam. Begitulah kebesaran Allah SWT yang memiliki sifat ar-Rahman dan ar-Rahim terhadap sekalian hamba-Nya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran maksudnya: "Bangunlah solat tahajud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (untuk berehat)." Surah al-Muzzammil ayat 2

Dalam ibadat puasa wajib pula, Allah SWT hanya menitahkan dilakukan pada Ramadan. Itu pun tidaklah setiap Muslim diperintah untuk menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari, sebaliknya hanya sebahagian daripada seharian iaitu daripada masuknya waktu solat Subuh sehingga terbenam matahari dengan masuknya waktu solat Maghrib.

Tidak ada kebaikan diterima bagi orang berpuasa yang sengaja melengah-lengahkan waktu berbuka. Pelaksanaan ibadah mesti mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah, bukan atas pertimbangan akal sendiri. Jika mengikut logik akal, semakin lama beribadah maka semakin banyaklah pahala yang diperoleh. Namun hal ini tidak sebegitu apabila berkait dengan waktu berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa." Hadis Riwayat Ibn Majah

Meskipun haji adalah ibadah yang memerlukan kos yang tinggi, namun secara jelas kewajipannya diberikan ke atas orang yang berkemampuan. Allah SWT menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: "…dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya…" Surah Ali Imran ayat 97

Hayatilah perintah Allah SWT tentang membaca ayat al-Quran yang mudah dalam solat. Ini semestinya memberi ruang kepada semua orang untuk melaksanakan ibadah dengan tenang mengikut kemampuan masing-masing. Selagi ibadah dilakukan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah, pasti ia akan diterima oleh Allah SWT. Firman Allah bermaksud: "… Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran…" Surah al-Muzzammil ayat 20

Begitu juga dengan amalan zikir mengingati Allah. Sememangnya dengan mengingati Allah, hati manusia akan menjadi tenang tenteram. Rasulullah SAW banyak mengajar umatnya tentang zikir terbaik yang boleh dibaca pada bila-bila masa. Ada pula untaian zikir yang dibaca oleh Rasulullah SAW pada waktu pagi dan petang dengan bilangan tertentu. Zikir ini bukannya sedikit jenisnya, ia terlalu banyak pilihan dan semuanya tidak ada yang panjang berjela-jela. Baginda dengan jelas menyatakan tentang zikir kepada Allah SWT yang sebutannya ringan untuk lisan, namun pahalanya dinilai dengan timbangan yang berat di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ada dua kalimat zikir yang ringan diucapkan di lidah, tetapi berat pahalanya pada timbangan amal kebaikan dan sangat dicintai oleh ar-Rahman (Allah) iaitu Subhanallahi wa bihamdihi (Maha Muci Allah dengan memuji-Mya), Subhanallahil 'Azim (Maha Suci Allah Yang Maha Agung)." Muttafaq alaihi

Setiap ajaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah semuanya mampu diikuti oleh umatnya. Bukankah baginda diutuskan oleh Allah SWT untuk menjadi contoh ikutan paling utama? Maka usah menokok atau mengurangkan ajaran yang ditunjukkan baginda kerana sesungguhnya dialah yang membawa petunjuk daripada Allah.

"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.'" Surah Ali Imran ayat 31

Petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah SAW semestinya paling tepat dan terbaik untuk diutamakan melebihi yang selainnya. Apa lagi yang perlu dirisaukan mengenai amalan yang ditunjukkan oleh baginda sehingga ada yang lebih memilih untuk mendahulukan amalan berpunca daripada selain Rasulullah SAW. Meskipun asasnya baik, utamakanlah perkara ditunjukkan oleh baginda.

Segala yang diajar oleh Rasulullah SAW sudah cukup malah pada tahap paling baik untuk diamalkan. Semua orang mengaku mencintai Rasulullah SAW, maka ayuhlah jadikan ajaran baginda sebagai amalan. Sesungguhnya setiap yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya bertepatan dengan kehendak Allah SWT sepertimana firman-Nya bermaksud: "… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…" Surah al-Baqarah ayat 185


Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 6:00 AM