FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Insan teragung yang sepatutnya menjadi uswah (contoh ikutan atau idola) dan ikon umat Islam ialah Nabi Muhammad SAW. Namun masyarakat Islam di seluruh dunia hari ini terpengaruh dan tersalah memilih idola.

Maka, berlakulah banyak kepincangan dalam masyarakat sehingga mereka keliru apabila berhadapan dengan konflik dalam kehidupan. Sedangkan semua aspek kehidupan yang dihadapi sudah ditunjukkan contoh teladan dan ikutan oleh Rasulullah SAW.

Antara asas penting dalam keperibadian dan sifat kepemimpinan Rasulullah SAW ialah sifat rahmah. Perkataan rahmah berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati. Malah, banyak lagi maksud yang boleh difahami daripada istilah rahmah yang digunakan khususnya di dalam al-Quran.

Manakala, menurut Dewan Bahasa dan Pustaka perkataan rahmah membawa maksud belas kasihan, kurnia, berkat, bahagia, kelebihan, hikmah, faedah dan kegunaan.

Perkataan rahmah dan perkataan pecahan daripada asal perkataannya disebut di dalam al-Quran lebih kurang 300 kali. Malah, ia terdapat dalam lebih 1,000 ayat secara keseluruhan. Bermakna ia meliputi lebih kurang satu per enam daripada jumlah ayat al-Quran. Ayat paling sinonim ialah firman Allah SWT: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat sekalian alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Rasulullah SAW adalah insan teragung yang diutus Allah SWT untuk seluruh alam. Perkara ini sangat jelas disebut di dalam al-Quran. Sehinggakan Allah SWT memerintahkan umat Islam berselawat ke atas baginda. Bahkan, Allah SWT sendiri berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Banyak sunnah dan teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW kepada umat Islam sebagai pedoman hidup. Baginda diiktiraf manusia teragung dan menjadi contoh terbaik kepada seluruh manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (ketika susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Bahkan, sebenarnya terdapat perintah Allah SWT agar kita mentaati Rasulullah SAW sebagaimana kita patuh kepada perintah Allah. Ia menyempurnakan ketaatan kita kepada syariat Islam yang berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) daripada harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya daripada kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Hasyr, ayat 7)

Rasulullah SAW adalah uswah dan qudwah sifat rahmah untuk seluruh alam. Ini bermakna sifat rahmah bukan semata-mata kepada sesama manusia, bahkan kepada seluruh makhluk, haiwan, tumbuhan dan benda. Baginda manusia paling bersifat rahmah, penyayang dan kasihan belas terhadap manusia. Semua manusia sebenarnya mendapat limpahan sifat rahmah Nabi Muhammad SAW.

Antara mereka yang paling banyak mendapat nikmat sifat rahmah Rasulullah SAW ialah sahabat baginda. Pernah baginda menziarahi Saad bin Ubadah bersama para sahabat. Rasulullah SAW menangis. Kemudian baginda bersabda: "Dengarkanlah oleh kalian, sesungguhnya Allah tidak menyeksa (azab) seseorang disebabkan tangisan atau perasaan sedih (daripada orang yang ditinggalkannya) akan tetapi Dia menyeksa disebabkan oleh ini (baginda memberi isyarat pada lisannya) atau Dia akan mengasihinya." (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat golongan fakir, miskin, wanita dan anak yatim.

Baginda juga insan terbaik kepada ahli keluarganya. Sabdanya: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan menyebut keburukannya)." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Makhluk lain juga tidak terkecuali daripada merasai keistimewaan sifat rahmah Rasulullah SAW. Baginda menegaskan bahawa ganjaran besar (diampunkan dosa) kepada orang yang merahmati haiwan. Sabda Rasulullah SAW: "Para pengasih dan penyayang dikasihi dan disayangi oleh Al-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang), maka rahmatilah yang ada di bumi nescaya kalian akan dirahmati zat yang ada di langit." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 9:45 PM