WANITA berusia lebih 35 tahun atau mempunyai masalah kesihatan.
WANITA berusia lebih 35 tahun atau mempunyai masalah kesihatan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEINGINAN untuk memiliki zuriat sendiri adalah naluri semula jadi setiap insan dan ia juga menjadi impian semua pasangan yang mendirikan rumah tangga.

Namun, ada yang ditakdirkan mengalami masalah kesuburan hingga menyukarkan peluang mereka mendapatkan cahaya mata.

Masalah kesuburan yang dihadapi setiap pasangan bagaimanapun berbeza dan perjalanan untuk mengatasinya juga semestinya tidak akan sama.

Ketidaksuburan bermaksud kegagalan untuk hamil selepas setahun melakukan hubungan kelamin secara tetap tanpa menggunakan pelindung.

Masalah itu dikatakan berlaku kepada pasangan di usia reproduktif, dianggarkan sepertiga masalah berpunca daripada lelaki, sepertiga lagi daripada perempuan dan bakinya berpunca dari kedua-belah pihak.

Meskipun ketidaksuburan adalah masalah kesihatan tetapi ia boleh menjadi masalah psikologi kerana salah seorang daripada pasangan atau kedua-duanya boleh berasa tertekan dengan sikap orang sekeliling yang tidak henti bertanya mengenai zuriat.

Menurut Pengarah Perubatan, Pakar Fertiliti dan Sakit Puan, Pusat Kesuburan Sophea (Sophea), Dr Norazlin Rosli, rawatan kesuburan sepatutnya perlu dilakukan selepas setahun berkahwin sekiranya tidak mempunyai masalah kesihatan.

Sebaliknya kata Dr Norazlin, jika si isteri berusia lebih 35 tahun atau mempunyai masalah kesihatan seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), fibroid, endometriosis, Cyst atau sejarah pembedahan ginekologi, pemeriksaan kesuburan perlu dilakukan selepas enam bulan perkahwinan.

JUMLAH telur wanita akan terus menurun
JUMLAH telur wanita akan terus menurun

Ini kerana kata Dr Norazlin, usia wanita berkait rapat dengan kadar kesuburan dan faktor usia juga adalah penentu utama bagi kejayaan rawatan kesuburan kerana usia telur wanita adalah sama dengan usianya sendiri.

"Namun, harus diingat, usia muda juga tidak semestinya memiliki telur yang banyak dan berkualiti kerana faktor kesihatan dan faktor juga memainkan peranan.

"Setiap bayi perempuan dilahirkan dengan jumlah telur sebanyak satu hingga dua juta namun apabila mencapai usia baligh, jumlah telur dianggarkan sekitar 300,000 hingga 400,000.

"Jumlah telur itu akan terus menurun dan pada usia 30 tahun, terdapat 100,000 hingga 150,000 telur. Pada usia 40 tahun, jumlah telur semakin merosot kepada 5,000 hingga 10,000 sahaja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dr Norazlin lagi, kadar kesuburan juga menurun seiring dengan usia dan bagi wanita sihat di usia 30-an, kadar peratus untuk mengandung adalah sekitar 20 hingga 30 peratus bagi setiap kitaran haid.

Kata beliau, kadar itu terus menurun hingga lima peratus bagi wanita yang usianya mencapai 40-an.

"Kadar itu akan terus menurun hingga putus haid (menopaus). Justeru, bagi pasangan yang ingin menimang cahaya mata digalakkan untuk tidak melengahkan ujian saringan dan rawatan kesuburan.

"Walaupun terdapat pelbagai rawatan kesuburan yang ada ketika ini namun kejayaannya berkait rapat dengan faktor usia wanita, disarankan ia dilakukan sebelum usia 45 tahun," katanya.

Menerusi perkembangan sains, pelbagai teknologi reproduktif berbantu (Assisted Reproductive Technology - ART) dihasilkan bagi membantu pasangan yang mengalami masalah ketidaksuburan untuk mendapatkan anak.

Rawatan yang terbaik bergantung kepada situasi individu dan punca ketidaksuburan itu, bagi sesetengah pasangan, hanya satu pihak yang memerlukan rawatan namun ada juga kes di mana kedua belah pihak memerlukan rawatan.

KEINGINAN untuk memiliki zuriat sendiri adalah naluri semula jadi setiap insan
KEINGINAN untuk memiliki zuriat sendiri adalah naluri semula jadi setiap insan

Kaedah rawatan kesuburan itu termasuklah pengambilan ubat-ubatan yang merangsang hormon dan proses ovulasi.

Kadangkala ia juga digabungkan dengan prosedur yang memudahkan sperma untuk mempersenyawakan telur, dan membantu embrio untuk melekat di dinding rahim.

Jelas Dr Norazlin lagi, dua kaedah rawatan kesuburan yang biasa dan boleh digunakan wanita Islam ialah Inseminasi Intrauterine (Intrauterine Insemination - IUI) dan Persenyawaan in vitro (In Vitro Fertilization - IVF).

IUI ialah prosedur di mana sperma yang sihat diletakkan ke dalam rahim isteri ketika proses ovulasi manakala IVF ialah prosedur di mana telur dikeluarkan dari ovari dan disenyawakan dengan sperma dalam makmal untuk menghasilkan embrio yang kemudiannya diletakkan ke dalam rahim isteri.

"Pengambilan ubat kesuburan seperti Clomiphene Citrate kepada wanita yang tidak mempunyai ovulasi boleh meningkatkan peratus kejayaan mengandung sekitar 10 peratus manakala teknik IUI pula dapat meningkatkan peluang mengandung sekitar 15 hingga 20 peratus.

"Kejayaan kaedah rawatan IVF paling tinggi iaitu sekitar 50 hingga 60 peratus, apapun faktor usia dan masalah kesihatan lain perlu turut diambil kira," katanya.

Menurut beliau lagi, sebelum melakukan apa juga rawatan kesuburan, setiap pasangan perlu melakukan saringan pemeriksaan kesuburan yang meliputi latar belakang kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan ujian darah, imbasan bunyi dan pemeriksaan sperma daripada air mani.

Kata beliau, daripada keputusan yang diperoleh, barulah jenis rawatan yang sesuai dapat dicadangkan.

Justeru katanya, adalah penting bagi setiap pasangan untuk tampil menjalankan ujian saringan secara bersama kerana masalah kesuburan boleh membabitkan kedua-dua belah pihak pada masa yang sama.

"Ia berbeza dengan persepsi masyarakat kita, jika tidak mengandung pasti si isteri yang dianggap menjadi punca sedangkan hakikatnya lelaki juga berisiko mengalami masalah ketidaksuburan.

"Masalah ketidaksuburan lelaki tidak boleh dikesan dengan pandangan mata kasar sebaliknya hanya boleh diketahui jika melakukan saringan pemeriksaan kesuburan," katanya.

Dr Norazlin berkata, setiap wanita berpeluang untuk mengandung selagi mempunyai telur dan kitaran haid yang tetap.

Jelasnya, wanita yang mengalami masalah kesihatan seperti ovum tidak matang juga berpeluang memiliki zuriat.

"Dengan teknologi perubatan moden hari ini, terdapat banyak rawatan yang sesuai untuk digunakan. Bagaimanapun, perubahan gaya hidup untuk menangani punca masalah juga perlu dilakukan.

"Ini kerana masalah hormon tidak stabil, obesiti, terlalu kurus, diet dan aktiviti fizikal yang keterlaluan juga boleh menjadi punca masalah ovum tidak matang," katanya.

Sementara itu, selain rawatan kesuburan, Sophea turut menawarkan rawatan lain berkait rapat dengan kesuburan dan kelahiran anak yang sihat seperti penyimpanan tisu ovari, telur, sperma dan embrio, menggunakan teknologi perubatan terkini selaras dengan kaedah piawaian antarabangsa.

Pada masa sama turut menyediakan perkhidmatan pembedahan pemulihan air mani, pemeriksaan genetik, analisa penerimaan endometrium, rawatan ginekologi, penjagaan antenatal, perkhidmatan kaunseling dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 7:01 AM