PASANGAN turut disarankan berjumpa pakar kesuburan jika sudah lebih setahun cuba untuk hamil.
PASANGAN turut disarankan berjumpa pakar kesuburan jika sudah lebih setahun cuba untuk hamil.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TIDAK kira lelaki mahupun wanita, masing-masing memiliki impian untuk menjadi ibu atau bapa pada suatu hari nanti.

Apatah lagi jika sudah bertahun mendirikan rumah tangga, pastinya menaruh harapan tinggi untuk memiliki cahaya mata sendiri.

Begitupun, tidak semua 'bertuah' dikurniakan zuriat sebaik sahaja mendirikan rumah tangga kerana ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya dan perlu mencuba pelbagai cara.

Banyak faktor termasuk peningkatan usia yang mampu membawa kesan kepada penurunan kadar kesuburan dan kelahiran bayi, namun dengan adanya kemajuan teknologi dalam perubatan moden, ia memberi sinar harapan kepada pasangan untuk membantu mendapatkan zuriat.

Antara inisiatif yang dapat merawat masalah kesuburan adalah persenyawaan in-vitro ataupun In Vitro Fertilisation (IVF).

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Ashley Chung Soo Bee berkata, teknologi rawatan kesuburan efektif dalam membantu pasangan untuk hamil, terutama dengan kewujudan initiatif IVF yang juga salah satu prosedur paling berkesan pada masa ini.

Katanya, IVF juga salah satu pilihan yang terbaik jika sesuatu pasangan mengalami masalah tiub fallopio tersumbat, sejarah kerosakan pensterilan tiub, endometriosis, masalah ovulasi, kualiti atau fungsi sperma yang sudah terjejas.

Selain itu, IVF juga pilihan terbaik untuk masalah pensterilan lelaki, masalah kesuburan yang tidak dapat dijelaskan, masalah genetik atau sebagai cara pemeliharaan tahap kesuburan bagi pesakit kanser.

"Ujian genetik praimplantasi aneuploidies (PGT-A) atau ujian untuk mengesan sebarang abnormaliti pada embrio adalah antara teknologi perubatan yang inovatif dalam rawatan masalah kesuburan.

"Ia adalah ujian saringan yang dilakukan bersama prosedur IVF bagi menentukan bahawa sesuatu embrio itu sihat ataupun tidak.

"Selain itu, PGT-A juga boleh membantu meningkatkan kadar kehamilan, mengurangkan risiko keguguran, risiko abnormaliti pada kromosom dan membolehkan embrio yang mempunyai kromosom normal dipindahkan ke dalam rahim ataupun dibekukan untuk kegunaan masa hadapan," katanya.

Menurut Dr Ashley lagi, salah satu teknik makmal terkini yang digunakan untuk prosedur IVF adalah suntikan sperma terpilih morfologi intracytoplasma (IMSI).

 PEMERIKSAAN klinikal dan ujian darah juga diperlukan untuk memeriksa tahap kesuburan sebelum memulakan sebarang rawatan.
PEMERIKSAAN klinikal dan ujian darah juga diperlukan untuk memeriksa tahap kesuburan sebelum memulakan sebarang rawatan.

Proses magnifikasi akan dilakukan untuk mengenal pasti kecacatan di kepala sperma yang tidak dapat dilihat melalui prosedur biasa serta menyuntik sperma yang berkeadaan normal ke dalam oosit (telur) untuk meningkatkan peratusan kejayaan persenyawaan.

Bagaimanapun, Dr Ashley berkata, rawatan IVF adalah berbeza bagi setiap wanita, membuatkan setiap orang mengalami tindak balas berbeza kepada ubat-ubatan berlainan serta pada masa berbeza.

Oleh sedemikian, pesakit dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan klinikal yang menyeluruh dan melakukan ujian darah bagi mengetahui punca kepada masalah ketidaksuburan mereka sebelum memulakan prosedur IVF.

"Sesetengah wanita mungkin berjaya hamil selepas hanya satu kitaran IVF sahaja manakala yang lain mungkin perlu mencuba beberapa kitaran sebelum mereka boleh memulakan fasa untuk berkeluarga.

"Terdapat beberapa cabaran ketika melakukan prosedur itu seperti perlu menerima suntikan rawatan IVF secara harian bagi merangsang ovari menghasilkan telur bersifat matang untuk digunakan ketika proses persenyawaan dengan sperma.

"Sebelum memulakan kitaran IVF, jururawat akan berkongsi semua perkara yang perlu diketahui mengenai suntikan berkenaan," katanya.

INKUBASI dan peralatan pengimejan yang digunakan untuk memilih embrio terbaik.
INKUBASI dan peralatan pengimejan yang digunakan untuk memilih embrio terbaik.

Dalam pada itu, memandangkan fasa berkeluarga adalah sebuah perjalanan yang perlu dilalui setiap pasangan, kesedaran mengenai masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki perlu diketengahkan kerana terdapat peningkatan kes di peringkat tempatan serta global.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan dari hospital yang sama, Dr Farah Leong Rahman berkata, seperti wanita, tahap kesuburan lelaki juga boleh menurun seiring peningkatan usia.

Namun, ia dilihat sebagai tidak sebegitu serius jika ingin dibandingkan dengan wanita.

Kata Dr Farah, penurunan kadar kesuburan lelaki biasanya bermula apabila mereka mula memasuki fasa usia 40-an kerana ia mampu menjejaskan kualiti sperma yang dihasilkan.

Begitupun, masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki tidak selalu dibincangkan kerana masih terdapat stigma untuk berbincang mengenai perkara itu secara terbuka, terutama dalam budaya orang Asia yang memandang tinggi lelaki.

"Tidak dinafikan bahawa lebih banyak kesedaran perlu dibangkitkan mengenai isu itu dan faktor gaya hidup serta persekitaran memainkan peranan penting.

"Tabiat merokok, menghisap ganja, pengambilan alkohol secara berlebihan, obesiti dan rawatan hormon juga boleh membawa kepada parameter sperma yang tidak optimum," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Farah berkata, terdapat pelbagai punca yang boleh membawa kepada masalah ketidaksuburan lelaki.

Sesetengah punca adalah disebabkan faktor kongenital atau faktor keturunan yang bermaksud masalah itu wujud sejak lahir lagi.

"Namun, terdapat juga faktor lain seperti pembedahan, trauma, jangkitan, masalah testis, masalah kesihatan yang tidak dikenal pasti atau dari ubat-ubatan tertentu yang menjadi punca kepada masalah ketidaksuburan.

"Oleh itu, setiap rawatan yang disyorkan akan bergantung kepada punca masalah ketidaksuburan itu sendiri," jelasnya.

Untuk memeriksa sama ada seseorang itu mempunyai sperma yang optimum ataupun tidak, satu ujian sperma ringkas boleh dijalankan bagi mengumpul maklumat mengenai jumlah sperma, kelajuan (motiliti) serta bentuk sperma.

Dr Farah berkata, pemeriksaan lanjut seperti ujian hormon darah akan dilakukan jika perlu, bergantung kepada parameter sperma berkenaan.

"Terdapat beberapa keadaan yang memerlukan seseorang itu untuk mendapatkan rawatan, termasuk masalah untuk mencapai ereksi atau ejakulasi, sejarah pembedahan pada kemaluan atau rawatan kanser seperti kemoterapi.

"Bagaimanapun, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa pakar rawatan kesuburan sekiranya sudah mencuba untuk mendapatkan anak selama lebih dari setahun tanpa sebarang simptom seperti yang dijelaskan," katanya.

Sementara itu, Dr Farah berkata, IVF turut boleh menjadi pilihan kepada lelaki dengan masalah jumlah kiraan sperma yang sedikit atau sperma yang tidak boleh berenang.

"Sebagai contoh, bagi keadaan sperma yang tidak mampu berenang, kami boleh mencari sperma yang paling sesuai melalui mikroskop dan menyuntik terus dalam telur untuk proses persenyawaan.

"Kaedah itu boleh meningkatkan peluang untuk mendapat kehamilan yang berjaya," katanya.

Kemajuan dalam teknologi perubatan yang pesat berkembang bukan sekadar dapat merawat simptom, namun mampu untuk memberikan penyelesaian kepada pelbagai isu seperti masalah ketidaksuburan.

Rawatan kesuburan seperti IVF boleh dipertimbangkan sebagai satu usaha bagi pasangan untuk mendapatkan anak selain ingin memastikan kehamilan dan bayi yang selamat serta sihat.

Malah rawatan itu juga adalah salah satu daripada pelbagai pilihan rawatan yang ditawarkan di Pusat Kesuburan Sunway di SMCV yang mula beroperasi pada Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 7:00 AM