DR RICHARD Fisher, pakar kesuburan yang juga antara pengasas Fertility Associates di New Zealand bersama Dr Arasu.
DR RICHARD Fisher, pakar kesuburan yang juga antara pengasas Fertility Associates di New Zealand bersama Dr Arasu.
KESUBURAN berbeza mengikut individu, wanita lebih 36 tahun disaran hamil dalam tempoh 6 bulan perkahwinan.
KESUBURAN berbeza mengikut individu, wanita lebih 36 tahun disaran hamil dalam tempoh 6 bulan perkahwinan.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Keinginan memiliki zuriat sendiri yang mampu menyerikan suasana di rumah selain mengukuhkan ikatan kasih sayang antara suami isteri menjadi impian hampir semua pasangan yang berumah tangga.

Namun, ada ketikanya masalah kesuburan berpunca daripada pelbagai faktor, mungkin membantutkan hasrat memiliki cahaya mata dan ada yang menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan anak dengan kaedah semula jadi.

Pengarah Perubatan Fertility Associates Malaysia Dr Mathi Arasu Muthusamy berkata, umur wanita sangat berkait rapat dengan kesuburan dan semakin berusia seseorang wanita, kesuburannya semakin menurun.

Menurutnya, bagi wanita yang berusia kurang 30 tahun, peluang mengandung lebih 60 peratus manakala sebaik mencecah usia 36 tahun, peluang itu menurun kepada kira-kira 50 peratus.

Sebaik wanita mencecah usia 40 tahun, kesuburannya menurun antara 20 hingga 30 peratus dalam usaha mendapatkan zuriat.

“Secara purata, bagi setiap pasangan berkahwin, mereka mempunyai peluang 85 peratus untuk mengandung pada tahun pertama perkahwinan, namun kira-kira 15 peratus daripada pasangan ini mungkin mengalami masalah kesuburan.

“Peluang mendapatkan anak juga bergantung kepada kesuburan suami, tetapi tidak berkait rapat dengan usia suami,” katanya ketika ditemui selepas meraikan kelahiran bayi sempena sambutan ulang tahun pertama Fertility Associates Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Berbeza dengan wanita yang akan mengalami penurunan kesuburan dan akhirnya menopaus, lelaki boleh terus subur sepanjang hidupnya.

Biarpun penghasilan sperma boleh berkura­ngan berdasarkan usia lelaki dan faktor sekeliling seperti masalah kesihatan serta gaya hidup tidak sihat, mereka terus menghasilkan sperma dan boleh mendapatkan anak pada usia yang sudah lanjut.

Dr Arasu berkata, beliau menyarankan wanita berusia kurang daripada 35 tahun yang sudah berkahwin untuk mencuba mendapatkan anak secara semula jadi bagi tahun pertama perkahwinan mereka.

Bagi wanita berusia lebih 36 tahun, cuba me­ngandung dalam tempoh enam bulan perkahwinan mereka.

Sekiranya mereka masih gagal mendapatkan anak, Dr Arasu mencadangkan supaya mereka bertemu pakar kesuburan untuk membuat penilaian dan ujian kesuburan, selain mendapatkan nasihat serta tip daripada doktor mengenai cara meningkatkan kesuburan diri.

“Masalah yang sering dihadapi pasangan

di negara ini adalah sikap suka menunggu sehingga usia sudah menghampiri 40 tahun.

“Mereka juga suka membandingkan ­dengan situasi orang lain misalnya ada pasangan yang berkahwin tiga tahun atau lima tahun baru dikurniakan anak, sedangkan kesuburan berbeza mengikut individu,” katanya.

Malah Dr Arasu mencadangkan bagi wanita yang mengalami masalah haid tidak teratur, senggugut teruk atau menghidap masalah fibroid dan sista, supaya terus membuat temu janji bertemu pakar kesuburan tanpa perlu menunggu lagi atau membazir masa biarpun usia mereka baru dalam lingkungan 20-an.

Menariknya, menurut beliau, ujian serta penilaian kesuburan tidak hanya boleh dilakukan bagi pasangan yang sudah berkahwin, tetapi wanita bujang atau dalam proses berkahwin juga boleh melakukan ujian berkenaan bagi melihat tahap kesuburan dan mengambil langkah awal sekira­nya wujud sebarang masalah.

“Kata kunci di sini adalah jangan membazir masa kerana usia wanita sangat berkait rapat dengan kesuburan dan jika sudah ada tanda masalah kesuburan, datang saja bertemu pakar untuk membuat ujian dan penilaian.

“Seperti di Fertility Associates Malaysia, tidak semestinya jika pasangan datang, mereka perlu terus membuat rawatan kesuburan, sebaliknya doktor akan beri nasihat dulu dan tip supaya mereka mencuba terlebih dulu secara semula jadi.

“Kos ujian dan penilaian juga tidak membebankan iaitu hanya sekitar RM300 ke RM400. Jika masih gagal mengandung selepas beberapa bulan mencuba secara semula jadi selepas mendapatkan nasihat doktor, kami menyediakan ubatan kesuburan yang kosnya juga sekitar kurang daripada RM500.

“Jika itu juga tidak berjaya, barulah kami menyarankan kaedah permanian beradas (intrauterine insemination -IUI) iaitu sperma suami disuntik ke dalam rahim menggunakan tiub halus atau persenyawaan in vitro (IVF).

“Bagi IUI, selepas menyuntik sperma pada waktu subur wanita, kami memasang harapan supaya sperma akan bertemu dengan telur dan berharap persenyawaan berlaku. Namun sekiranya gagal, kami akan menggunakan kaedah IVF apabila kita tidak berharap lagi, tetapi mengambil alih proses berkenaan,” katanya.

Dr Arasu juga berkata, lebih menggembirakan, klinik kesuburan Fertility Associates Malaysia, mempunyai kadar kejayaan lebih 60 peratus sejak mula beroperasi 15 bulan lalu dan 100 pasangan kini sedang menunggu kelahiran anak masing-masing.

Selain itu, katanya, biarpun wanita dan faktor umur mereka memainkan peranan dalam kesuburan, 50 peratus daripada masalah kesuburan turut dipengaruhi lelaki.

Pelbagai faktor gaya hidup disarankan oleh Dr Arasu termasuk mengekalkan kecergasan ­dengan kerap bersenam, me­ngurangkan pengambilan alkohol dan mengelakkan pengambilan dadah atau merokok. Mengambil makanan yang kaya antioksida seperti sayur-sayuran segar, buah-buahan, kekacang, bijian dan coklat gelap juga terbukti dapat memberikan kesan positif kepada kualiti sperma.

Lebih penting, lelaki tidak sepatutnya meletakkan peralatan yang berhaba tinggi seperti komputer riba di bahagian bawah tubuh mereka.

Fertility Associates adalah peneraju dalam diagnosis, sokongan dan rawatan kesuburan di New Zealand. Ia ditubuhkan pada 1987 oleh kumpulan doktor asal yang memperkenalkan kaedah IVF pada awal 80-an.

Hari ini, Fertility Associates adalah penyedia perkhidmatan kesuburan terbesar di New Zealand dengan empat klinik utama di Auckland, Hamilton, Wellington dan Christchurch serta lebih 13 klinik pakar rundingan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:00 AM